Guru SK Chembong menang Kereta Myvi di FGM 2022

Guru SK Chembong menang Kereta Myvi di FGM 2022

NURAIZILA Mohd. Radi menerima kunci Perodua Myvi 1.5 AV yang disampaikan sendiri oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin di Majlis Apresiasi FGM 2022 di UMK Bachok, Kelantan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong Rembau, Negeri Sembilan, Nuraizila Mohd. Radi berkata, dia terkejut dan tidak percaya apabila diumumkan sebagai pemenang Hadiah Cabutan Apresiasi Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 berupa kereta Perodua Myvi 1.5 AV.

Nuraizila berkata, hadiah tajaan Perodua itu merupakan hadiah yang paling bermakna buat dirinya sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini dan ia juga merupakan salah satu kelebihan warga pendidik apabila menjadi ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

NURAIZILA Mohd. Radi menganggap hadiah tajaan Perodua itu merupakan hadiah yang paling bermakna buat dirinya.

“Saya akan gunakan kereta ini untuk berulang-alik ke sekolah bagi menabur bakti sebagai pendidik selain menggantikan kenderaan sedia ada sebelum ini. Hadiah kejutan daripada YGMB amat bermakna dalam hidup saya, mereka benar-benar beri kejutan.

“Saya menang tidak sangka akan menang hadiah utama, ingat datang ke FGM 2022 ada hadiah biasa-biasa sahaja. Saya juga difahamkan ramai menunggu hadiah utama ini,” katanya yang juga merupakan guru Matematik di SK Chembong.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima hadiah kereta Perodua Myvi 1.5 AV yang disampaikan sendiri oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin di Majlis Apresiasi FGM 2022 di UMK Bachok.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid; Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Aminudin Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Hadiah Cabutan Apresiasi FGM 2022 berupa kereta Perodua Myvi 1.5 AV bernilai hampir RM60,000 itu merupakan hadiah paling berprestij disediakan YGMB kepada ahlinya sejak penubuhan pada 1994.

Mengulas lanjut, Nuraizila berkata, banyak kelebihan apabila warga pendidik menjadi ahli YGMB termasuk pelbagai manfaat yang terdapat dalam empat skim yayasan berkenaan.

“Saya akui bahawa apabila menjadi ahli YGMB ini, warga pendidik akan mendapat pelbagai manfaat. Jadi mana-mana guru yang masih belum sertai yayasan ini, mereka boleh berdaftar segera untuk bernaung bawah YGMB,” katanya yang menjadi Ahli Seumur Hidup YGMB sejak 1996. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya