fbpx

Guru OKU jadi Guru Inspirasi McDonald’s 2022

HUZAIRIE Ahmad (berkerusi roda) bersama Radzi Jidin dan penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan di UMK, Bachok, Kelantan, hari ini. - FOTO/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Lumpuh bukan penghalang untuk tampil sebagai guru cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik murid di dalam dan luar sekolah.

Guru kurang upaya, Huzaire Ahmad, 46, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mempada 2, Pahang adalah antara 25 guru yang menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini hari ini.

Menurutnya, kecacatan kekal yang dialaminya sejak 22 tahun lalu tidak melunturkan semangatnya untuk berbakti kepada anak didik sama ada di sekolah, menerusi laman sosial atau dalam komuniti setempat.

“Mengikut doktor, saya akan lumpuh kekal termasuk gagal berada dalam keadaan duduk selepas terjatuh ketika memanjat pokok rambutan pada 12 Disember 1999. Selama hampir dua tahun saya terlantar dan syukur kini saya mampu berkerusi roda untuk melaksanakan tugas.

“Sebagai OKU saya membina semangat untuk terus maju dan berusaha membina keyakinan diri murid dengan mencungkil bakat mereka melalui Kelab Muzik sekolah selain tampil sebagai guru bimbingan kepada murid dan keluarga yang memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, di sini hari ini.

Seramai 25 guru yang terpilih menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 itu masing-masing menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM5,000.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor zamani Abdol Hamid dan Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai.

Huzaire yang berasal dari Kampung Mempatih Lancang, Pahang berkata, dia terkejut kerana terpilih selepas seorang muridnya, Muhamad Adam Takif Zaidi, 11 bersama bapanya yang mencalonkan penyertaannya sebagai calon Guru Inspirasi McDonald.

“Murid berkenaan sebelum ini berada dalam kemurungan selepas berlakunya keretakan rumah tangga yang berakhir dengan perceraian. Syukur, usaha saya mendekatinya berjaya memulihkan kemurungannya.

“Akhirnya, mereka menulis cerita dan usaha saya membantu sehingga Muhamad Adam Takif kembali seronok belajar sehingga sekarang. Ia sebenarnya sekadar hubungan sesama insan dan ramai lagi bekas anak murid saya yang sudah berkeluarga masih berhubungan sehingga sekarang,” ujarnya.

Huzaire berkata, setiap kebaikan akhirnya dibalas dengan kebaikan kerana dia yang patah tulang belakang mendapat keajaiban untuk berada dalam posisi duduk berbanding pada peringkat awal yang terpaksa terlantar dalam tempoh yang lama. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI