Guru mengaku tidak salah dapatkan suapan melalui syarikat sendiri

Guru mengaku tidak salah dapatkan suapan melalui syarikat sendiri

SEORANG guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas dua pertuduhan mendapatkan suapan berhubung pembelian beberapa peralatan sekolah bernilai hampir RM3,000 pada 2017.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH:  Seorang guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan mendapatkan suapan berhubung pembelian beberapa peralatan sekolah bernilai hampir RM3,000 pada 2017.

Tertuduh, Hazlina Kasah, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Hazlina didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan syarikat miliknya, Hazwan Event Management bagi membekal beberapa barangan.

Antaranya adalah 10 unit kertas A4 dan kertas warna, pen marker (30), masing-masing satu unit radio, alat tekanan darah dan trampolin, dua unit  kompas srta penimbang untuk panitia PJK melalui satu nota minta bernilai RM2,353.66.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pentadbiran SMK Pokok Sena di daerah Seberang Perai Utara di sini pada 17 Oktober 2017.

Sementara itu, menerusi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan pembelian lima unit bola sepak dan satu unit bola futsal bernilai RM522.66 yang dilakukan di lokasi sama pada 19 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan yang mana-mana lebih tinggi atau penjara tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, tertuduh yang ketika ini tedinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sebuah sekolah menengah di Kepala Batas di sini, memohon jaminan dikurangkan.

Tertuduh yang merupakan ibu kepada lima cahaya mata itu kemudian dibenarkan diikat jamin sebanyak RM8,000 beserta seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga kes selesai, perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu saksi kes.

Kes itu disebut semula pada 27 Jun ini. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN