Guna helikopter kesan seorang lagi mangsa dikhuatiri lemas

Guna helikopter kesan seorang lagi mangsa dikhuatiri lemas

ANGGOTA Maritim Malaysia giat mengesan Rokiah Abd. Rahman yang dikhuatiri lemas selepas mandi-manda di Pantai Kampung Che Wan, Kijal, Kemaman, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang dikhuatiri lemas di Pantai Kampung Che Wan, Kijal di sini digerakkan dengan menggunakan helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, SAR yang memasuki hari kedua itu, turut menggunakan lapan aset laut daripada pelbagai agensi selain dibantu nelayan tempatan. 

Katanya, radius pencarian mangsa, Rokiah Abd. Rahman, 59, diperluaskan hingga 10 batu nautika dari lokasi terakhir suaminya, Ahmad Qarib Ab. Kadir, 60, yang ditemukan, petang semalam. 

“Berdasarkan lokasi penemuan mayat pertama, kita percaya mangsa kedua mungkin berada di sekitar lokasi berkenaan kerana difahamkan mereka mandi bersama,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi semalam, pasangan suami isteri yang bercuti bersama empat orang anaknya itu dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai berkenaan. 

Bagaimanapun, mayat Ahmad Qarib berjaya ditemukan oleh dua pemancing kira-kira dua batu nautika dari Kuala Kemaman, pada pukul 2.10 petang, hari sama.

Sementara itu, Rashidilhadi meminta pengusaha penginapan di sepanjang pantai di negeri ini untuk sentiasa mengingatkan pengunjung agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga terutama ketika beriadah atau melakukan aktiviti air.

Katanya, pelancong berkemungkinan kurang arif dengan persekitaran dan rsiko bahaya di kawasan pantai berdekatan tempat mereka menginap.

“Kebanyakan pantai mungkin kelihatan landai tetapi sebenarnya berteluk dan berbahaya. Malah, ada beberapa tempat yang kerap berlaku kejadian lemas dan tidak selamat untuk mandi mandi, jadi pengunjung perlu peka dengan keadaan sekeliling termasuk mematuhi papan tanda yang dipasang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.