NIBONG TEBAL: Sebuah gudang yang dipercayai menyimpan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Valdor, Sungai Bakap di sini dilaporkan terbakar awal pagi tadi.
Selain Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap, operasi memadamkan kebakaran itu turut dibantu oleh empat BBP lain iaitu dari Nibong Tebal, Perai, Batu Kawan dan Bandar Perda.
Menurut pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Mohamad Tarmizi Abdul Salam, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 5.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Katanya, apabila Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian, terdapat satu kebakaran melibatkan gudang penyimpanan cecair mudah terbakar pada anggaran keseluruhan berkeluasan 200 x 200 kaki persegi (kps).
“Anggaran peratusan kebakaran pada masa ini (ketika sampai ke lokasi) adalah 70 peratus iaitu pada tiga bahagian struktur tempat penyimpanan di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, selain dibantu oleh balai-balai dan pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran, operasi memadamkan api turut dibantu oleh pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Perai.
Jelas Mohamad Tarmizi, ketika ini kerja-kerja memadam kebakaran sudah memasuki peringkat akhir (overhaul) selepas lebih lapan jam beroperasi.
“Susulan kebakaran itu juga, terdapat sebuah jentera bomba yang nyaris terbakar akibat terkena serpihan letupan daripada api yang marak. Bagaimanapun, keadaan terkawal sepenuhnya dan kenderaan tersebut juga hanya mengalami sedikit kerosakan,” jelasnya. – UTUSAN










