fbpx

GM Klang tawar lot percuma promosi produk Sabah

SENG Kok (kanan) berjabat tangan dan bertukar dokumen perjanjian kerjasama dengan Kei Yue dalam majlis menandatangani perjanjian antara DIDR dengan GM Klang di Klang, Selangor, semalam.- UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS

KLANG: Pengusaha dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari Sabah berpeluang memasarkan produk-produk keluaran mereka di Pusat Pemborong GM Klang, di sini apabila tiga lot kedai diberikan secara percuma selama setahun.

Produk-produk PKS dari negeri di bawah bayu itu boleh dipasarkan di situ mulai Julai ini selepas kerjasama dimeterai antara pusat pemborong terkenal berkenaan dengan Jabatan Kemajuan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri itu berkata, kerjasama dengan GM Klang diyakini mampu meningkatkan hasil jualan produk PKS Sabah.

“Sebagai pusat pemborong terbesar di negara ini, GM Klang boleh memainkan peranan untuk kami memajukan industri pelancongan domestik melalui promosi di sini. Kami berharap kerjasama antara kedua-duanya dapat ditingkatkan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian kerjasama antara Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok dengan Pengarah DIDR, Tseu Kei Yue, semalam.

Sementara itu, menurut Seng Kok, beliau sentiasa terbuka untuk membawa masuk untuk memasar dan mempromosi produk tersebut khususnya buatan tempatan di pusat beli belahnya.  – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!