MARAN: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu mengaktifkan semula program Gedung Makanan Negara (GMN) Felda yang dilihat pendekatan relevan bagi mengatasi isu bekalan makanan negara.
GMN ditubuhkan pada 2009 dan peranan utamanya ialah dalam pengeluaran dan pengedaran produk makanan negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail berkata, jutaan ringgit telah dibelanjakan oleh Felda tetapi program GMN untuk menyediakan makanan negara kurang berjaya dan hanya tinggal nama.
Menurutnya, kegagalan mencapai matlamat program tersebut kerana tiada kesungguhan dan tindakan susulan menyebabkan projek GMN hanya gah pada nama sahaja.
“Sebagai contoh projek tanaman herba di bawah projek itu tidak berjaya sedangkan jutaan ringgit telah dilabur.
“Begitu juga projek Edible Garden yang digalakkan kepada peneroka Felda juga tidak ke mana untuk menyediakan sayur-sayuran segar untuk kegunaan sendiri dan jualan,” katanya di sini semalam.
Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan GWGF, RM30,000 kepada Muhamad Shah Ahmad yang rumahnya terbakar pada 4 Mei lalu di Masjid Jengka 9 di sini.
Yang hadir sama, Yang Dipertua Konsortium Kontraktor Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan, Datuk Amran Mohamad yang juga Generasi kedua Felda Kesumba Jengka 9 di sini.
Rozali menambah, rancangan Felda terutama ladang sawit merupakan lokasi paling sesuai untuk projek ternakan lembu dan juga ternak air.
Beliau berkata, tanaman kontan dan ternakan bukan sahaja menyediakan bekalan makanan segar tetapi juga sebagai sumber pendapatan.
Menurutnya, krisis makanan berikutan ‘gelombang politik dunia’ dan kesan perang Rusia dan Ukraine memerlukan tindakan proaktif Felda merancakkan semula program GMN.
Dalam pada itu, beliau menyokong tindakan kerajaan memansuhkan lesen import (AP) argo makanan dan dibuka kepada peniaga yang layak dan berkemampuan bagi mengimport makanan.
Tambah beliau, peluang tersebut perlu direbut oleh peniaga tempatan bagi mengimport barangan makanan untuk keperluan rakyat Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, GWGF sentiasa peka dan membantu warga tanah rancangan itu yang ditimpa musibah seperti kebakaran rumah dan bencana banjir. –UTUSAN










