EORGETOWN: Individu yang bertekad menamatkan riwayat hidup dengan cara singkat sering dikaitkan dengan kegagalan menempuh ujian kehidupan ekoran tidak sanggup berdepan tekanan diri terlampau.
Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah berkata, lazimnya individu itu gagal membuat sebarang pertimbangan dengan wajar terhadap tekanan dihadapi dari segi pemikiran dan emosi.
Katanya, masalah dialami individu tersebut berkait rapat dengan depresi atau kemurungan sehingga memaksa kepada perubahan tingkah laku, sikap dan emosi yang tidak stabil.
“Situasi sebegini dikaitkan dengan penyakit mental sehingga menjurus ke arah tindakan atau cubaan bunuh diri sehingga mangsa bertekad terjun dari jambatan.
“Kemungkinan ini berpunca akibat kos sara hidup yang semakin meningkat, kecewa setelah berasakan diri tidak berguna dan berdepan masalah keluarga.
“Mereka ini sudah tidak sanggup menanggung beban yang menimpa, malah sudah tidak nampak jalan lain atau selamat melainkan dengan cara menamatkan riwayat hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dr. Syed Mohamad memberitahu, masalah tekanan perasaan yang dihadapi mampu dirawat atau ditenangkan menerusi bantuan rakan dan ahli keluarga yang rapat.
Ujarnya, individu yang cenderung membunuh diri perlu dirujuk kepada pegawai psikologi atau perubatan psikiatri yang boleh menilai masalah dialami mereka sekali gus memberi rawatan paling sesuai dan terbaik.
“Perkara sebegini boleh dibantu sekiranya individu itu tidak lagi dapat dikawal, lazimnya pakar membekalkan ubat penenang,” ujarnya.
Khamis lalu, akhbar ini melaporkan Jambatan Pulau Pinang seperti sudah menjadi ‘jambatan cabut nyawa’ ekoran lapan kes cubaan bunuh diri direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang sepanjang bulan ini dengan kekerapan dua hingga tiga panggilan kecemasan diterima setiap minggu. – UTUSAN










