Gabungan itu untuk satukan nafsu pemimpin-Mohd. Shafie

Gabungan itu untuk satukan nafsu pemimpin-Mohd. Shafie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyifatkan gabungan yang baharu dilancarkan di Sabah hanya bertujuan menyatukan nafsu pemimpin-pemimpin parti.

Beliau berkata, tiada erti parti-parti kecil bergabung jika tujuan gabungan itu hanya untuk mencukupkan jumlah kerusi mereka yang memerintah dan bukannya menyatukan umat di negara ini.

Gabungan yang dibentuk itu hanya sebagai landasan untuk kepentingan politik semata-mata.

“Tiada erti negara ditawarkan dengan parti yang bergabung-gabung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika umat tidak bersatu.

“Banyak negara di dunia, umatnya bersatu tapi tiada gabungan parti-parti seperti di Jepun.

“Di negara kita sampai 10 parti bergabung tapi, apabila kehendak tidak dipenuhi, tekan butang. Kalau tidak setuju, dia keluar macam yang berlaku baru-baru ini. Ada pemimpin keluar dan tubuhkan parti baharu, Parti Bangsa Malaysia,” katanya ketika mengulas tentang pelancaran Gabungan Rakya Sabah (GRS) secara rasmi.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pemimpin bersama rakyat di Libaran hari ini.

Mohd. Shafie berkata, tokoh-tokoh yang bergabung di Sabah ini dahulunya ada yang bergaduh sesama sendiri dan kini mereka ingin bekerjasama membentuk gabungan politik.

Jika dilihat pemimpin ini sanggup bergabung kerana inginkan jawatan dan kedudukan mereka diperkukuhkan.

Justeru, beliau mahu rakyat membuka mata bagi melihat keadaan ini kerana negara memerlukan pemimpin yang mempunyai wawasan yang mahu meletakkan negara pada landasan yang betul.

“Mereka perlu ingat, yang menyebabkan mereka menang bukan parti gabungan, yang akan menangkan mereka menjadi wakil rakyat ialah rakyat di negara ini.

“Oleh itu, saya merayu rakyat Malaysia sedarlah, insaflah kerana pentng bagi negara ini mempunyai pimpinan yang berwawasan dan meletakkan dasar yang boleh membawa negara ini di landasan sepatutnya bagi mengatasi ketirisan dan pembangunan,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, bukan gabungan yang akan menarik sokongan rakyat. Gabungan sebegitu tidak boleh menang sekiranya rakyat memutuskan tidak memilih gabungan tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN