KLANG: Enam sekeluarga nyaris rentung apabila kediaman mereka di Taman Gembira di sini, terbakar awal pagi tadi.
Kebakaran kira-kira pukul 1 pagi berlaku ketika semua mangsa berusia 19 hingga 56 tahun sedang nyenyak tidur di rumah berkenaan. Mereka bagaimanapun terselamat dan berjaya keluar dari rumah teres dua tingkat berkenaan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.01 pagi.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan 14 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja dan Andalas
“Pemeriksaan lanjut mendapati api sedang marak memusnahkan rumah berkenaan terutama bahagian atas. Kebakaran itu turut melibatkan sebuah kereta Proton Waja milik mangsa yang berada di tingkat bawah premis,” katanya hari ini.
Jelas Norazam, premis itu melibatkan 50 peratus kebakaran dan api berjaya dikawal dalam tempoh lapan minit.
“Ketika kejadian, enam sekeluarga berada di dalam rumah berkenaan iaitu ibu dan ayah bersama empat anak mereka. Kesemua mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum ketibaan bomba,” jelasnya.
Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. – UTUSAN