Enam kampung tiada air sejak raya pertama

Enam kampung tiada air sejak raya pertama

PENDUDUK kampung mengambil air dari lori tangki LAP berikutan terputus bekalan air sejak seminggu lalu di Mukim Kota Setia di Pasir Salak semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Kira-kira 500 penduduk di enam kampung di Mukim Kota Setia dekat sini terputus bekalan air paip sejak sebelum hari raya pertama lagi sehingga hari ini.
Kampung yang terputus bekalan air melibatkan Kampung Hujung Rintis, Kampung Sungai Besar, Kampung Kandang Kerbau, Kampung Sungai Mangkuk, Kampung Sungai Nibong dan Kampung Teluk Ketapang.

Menurut penduduk, masalah itu berlaku setiap kali hari raya dipercayai akibat tekanan air rendah berikutan penggunaan air yang tinggi disebabkan ramai yang balik kampung.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati masalah itu masih dialami penduduk sehingga hari ini namun Lembaga Air Perak (LAP) membantu penduduk mendapatkan air dengan menghantar lori tangki air di kampung-kampung terlibat.

Penduduk Kampung Hujung Rintis, Mohd. Fuad Ngadi berkata, bekalan air di rumahnya tiada sejak hari raya pertama lagi dan keadaan itu menjejaskan keperluan seharian terutama untuk persiapan berhari raya tempoh hari.

Katanya, masalah itu berlaku setiap kali hari raya apabila penggunaan air meningkat disebabkan ramai yang balik kampung.

“Selain mengharapkan bekalan air daripada lori tangki LAP, kami mencari alternatif lain, seperti membeli air mineral untuk memasak termasuk memasak juadah raya.

“Kerana tak ada air, kami menghidangkan tetamu dengan air minuman botol, nak buat air panas seperti kopi dan milo, tiada air untuk dimasak.

“Kami berharap pihak berkenaan menyelesaikan masalah ini kerana ia berlaku setiap kali hari raya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Noriah Mislan, 64 berkata, masalah itu berlaku sejak hari raya pertama dan ia menyusahkan saudara maranya yang pulang berhari raya di kampung.

Katanya, pelbagai masalah berlaku disebabkan terputus bekalan air terutama untuk kegunaan memasak, untuk mandi, membasuh pakaian dan mencuci pinggan mangkuk.

“Kami yang perempuan lagi susah nak mandi, yang lelaki boleh mandi di sungai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN