Elok tangguh perjalanan ke Sri Lanka - Utusan Malaysia

Elok tangguh perjalanan ke Sri Lanka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang merancang melakukan perjalanan ke Sri Lanka dinasihatkan agar menangguhkan hasrat tersebut buat sementara waktu.

Saranan itu dimuat naik Suruhanjaya Tinggi Malaysia di ibu kota Colombo menerusi laman sesawang rasmi pejabat misi diplomatik tersebut susulan situasi amat tegang di Sri Lanka.

“Bagi rakyat Malaysia yang ada perancangan ke Sri Lanka, sila mempertimbangkan untuk tangguh dahulu perjalanan demi mengelakkan kesulitan semasa ketibaan nanti,” katanya.

Nasihat perjalanan itu dikeluarkan ekoran perintah berkurung yang dilaksanakan pemerintah sejak Isnin lalu dan sepatutnya berakhir semalam namun keadaan belum pulih sepenuhnya.

Pasukan keselamatan juga diarahkan menggunakan tindakan kekerasan terhadap individu yang mencetuskan kekecohan termasuk boleh menahan tanpa memerlukan waran tangkap.

Ia susulan tindakan ganas perusuh antikerajaan membakar rumah bekas Perdana Menteri, Mahindra Rajapaksa dan saudaranya sendiri, Presiden Gotabaya Rajapaksa di Hambatota. Sri Lanka yang mempunyai kira-kira 22 juta penduduk, pada masa ini bergelut dengan krisis ekonomi yang disifatkan terburuk dalam sejarah sejak kemerdekaan dari Britain pada 1948.

Setakat ini terdapat sejumlah 85 warga Malaysia yang telah berdaftar dengan pihak Suruhanjaya Tinggi dan sebahagian besar daripada mereka menetap di wilayah Colombo.

Warga Malaysia yang memerlukan bantuan boleh datang ke Suruhanjaya Tinggi yang terletak di No.45, Rosmead Place, 0007 Colombo pada hari bekerja mengikut waktu pejabat normal. Canseri diplomatik rasmi Malawakil itu juga boleh dihubungi menerusi talian telefon +9411 7557711 atau faksimile +9411 7557714 atau melalui e-mel [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN