KANGAR: Dalam usaha mengelak kebergantungan tinggi terhadap barangan import, kerajaan perlu membantu mengetengahkan produk-produk tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Nor Azam Karap berkata, hal demikian juga sekurang-kurangnya dapat membantu aliran kewangan di dalam negara.
Katanya, tidak dapat dinafikan keperluan dan kebergantungan terhadap barangan import dan ia tidak boleh berkurangan dalam menampung keperluan di dalam negara.
“Jadi untuk mengelakkan kebergantungan yang tinggi kepada barangan import ini, kerajaan perlu melihat kepada barangan tempatan.
“Bantu mereka, perkenal jenama mereka dan sekurang-kurangnya aliran duit itu berlaku dalam negara.
“Jika nanti pengeluar tempatan sudah berjaya menguasai pasaran, pada masa itu, hendak hentikan pengimportan barangan keperluan dari luar ini sudah tidak menjadi masalah. Pengeluar tempatan Insya-Allah boleh memenuhi keperluan semasa,” katanya di sini hari ini.
Tambah Nor Azam, pada masa ini, adalah waktu paling sesuai bagi membantu usahawan-usahawan tempatan ini.
Sementara itu, beliau berkata, kebelakangan ini, rakyat mengeluh berhubung soal kenaikkan harga barangan yang memerlukan perhatian serius kerajaan.
“Tidak dinafikan,isu harga barang naik ini bergantung kepada isu penawaran dan permintaan yang tinggi,” katanya. – UTUSAN










