Econsave cadang had pembelian tepung gandum kerana kurang bekalan - Utusan Malaysia

Econsave cadang had pembelian tepung gandum kerana kurang bekalan

MAS IMRAN ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasaraya besar Econsave dijangka mengehadkan penjualan tepung gandum sekilogram kepada pembeli ekoran bekalan yang kurang diterima pihaknya di semua cawangan pasar raya mereka, seluruh negara.

Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, langkah itu dilihat perlu bagi memastikan keperluan asas berkenaan dapat diperoleh lebih ramai pembeli.

Menurut beliau, pihaknya bagaimanapun perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terlebih dahulu untuk tujuan itu.

“Memang bekalan tepung gandum ketika ini kurang, kekurangan itu telah bermula sejak awal bulan ini, manakala bekalan minyak masak paket sekilogram sudah lama kurang.

“Boleh dianggarkan kekurangan bekalan itu adalah lebih daripada 50 peratus berbanding jumlah bekalan asal yang diterima sebelum ini.

“Langkah ini perlu diambil kerana bekalan yang diterima sangat kurang dan ianya tidak mampu menampung permintaan pelanggan, apatah lagi dengan keputusan India menggantung eksport tepung gandum mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambah Mas Imran, ketika ini pihaknya telah pun mengehadkan penjualan minyak masak sepaket kepada hanya tiga paket bagi seorang pembeli.

“Selain itu, pasar raya kami juga masih mengalami kekurangan bekalan ayam segar sehingga saat ini,” tambahnya.

Sementara itu, seorang pengusaha kek kecil-kecilan, Raja Nurul Antasha Raja Zaman, 40, pula memberitahu, dia mempunyai kesukaran untuk membeli tepung gandum sekilogram untuk menjalankan perniagaannya.

“Saya biasa menggunakan tepung gandum yang berharga RM2.50 sekilogram, namun tepung gandum jenama berkenaan semakin sukar didapati di mana-mana kedai.

“Jadi saya tiada pilihan selain daripada menggunakan jenama tepung gandum yang lebih mahal harganya,” katanya yang memaklumkan tindakan tersebut menyebabkan harga kek yang dijualnya turut meningkat.

Jelasnya, dia tidak mempunyai pilihan kerana terpaksa menanggung kos tambahan ekoran kekurangan bekalan tepung gandum jenama biasa yang digunakan sebelum ini. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN