ECJ Cares kongsi rezeki Aidilfitri - Utusan Malaysia

ECJ Cares kongsi rezeki Aidilfitri

MUHAMAD Rosni Khamis (kanan) menyampaikan sumbangan Aidilfitri berupa keperluan barangan dapur, daging segar dan duit raya di Kampung Padang Setol, Mukim Pedu, Padang Terap. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Seramai 100 penoreh getah dan petani di daerah ini menerima sumbangan keperluan barangan dapur, daging segar serta duit raya daripada Pertubuhan Kebajikan Persaudaraan Elit Jaz Malaysia (ECJ Cares) Malaysia.

Ketua Program ECJ Cares Malaysia, Muhamad Rosni Khamis berkata, program sumbangan tersebut yang bertujuan berkongsi rezeki untuk menceriakan golongan kurang berkemampuan kali ketiga dianjurkan di daerah ini.

Katanya, pihaknya mengambil keberkatan bulan Syawal menyampaikan sumbangan tersebut memandangkan kebanyakan penoreh getah dan petani terjejas pendapatan berikutan hasil torehan getah serta pertanian tidak menentu ketika Aidilfitri tahun ini.

“Inisiatif yang diambil ECJ Malaysia adalah atas keprihatinan bagi meringankan beban golongan tersebut menyambut Aidilfitri,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri di Kampung Padang Setol, Mukim Pedu di sini kelmarin.

Muhamad Rosni memberitahu, sumbangan tersebut diagihkan kepada penoreh getah dan petani di tujuh buah kampung di sekitar daerah ini.

Jelasnya, pihaknya difahamkan kebanyakan penoreh getah terjejas pendapatan selepas keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini sehingga tidak dapat menoreh sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

“Harga getah sekarang RM3 sekilogram (kg) juga tidak selari dengan harga barangan yang semakin naik terutama menjelang Aidilfitri lalu. Ada dalam kalangan penoreh getah terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“ECJ Malaysia memilih daerah Padang Terap untuk menjayakan program ini kerana latar belakang keluarga di kawasan ini kebanyakannya terdiri daripada penoreh dan petani,” jelasnya.

Selain itu beliau menambah, pihaknya bersama penduduk kampung mengadakan gotong-royong menyembelih dua ekor lembu untuk memeriahkan lagi program penyampaian sumbangan tersebut.

“Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kami terharu dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk kampung dan secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi ECJ Cares Malaysia dengan golongan penoreh,” katanya.

Sementara itu seorang penoreh, Razali Mahmud, 53, dari Kampung Padang Setol berkata, penduduk berterima kasih kepada ECJ Cares Malaysia yang turun ke daerah ini bagi menghulurkan sumbangan kepada penoreh dan petani pada sambutan Syawal tahun ini.

Menurutnya, sumbangan tersebut sangat bermakna kepada penduduk dalam mengurangkan perbelanjaan bagi persiapan menyambut hari yang mulia ini.

“Pendapatan penoreh terkesan sejak akhir-akhir ini dan membebankan lagi kepada mereka yang mempunyai bilangan anak yang ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN