MELAKA: Dua buah rumah di Kampung Ladang, Semabok di sini hampir rentung terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Hazalani Jaafar berkata, panggilan kebakaran rumah diterima pihaknya pada pukul 2.23 petang.
Katanya, operasi pemadaman melibatkan kekuatan tiga buah balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu sambil dibantu BBP Bukit Katil dan BBP Melaka Tengah.
“Sejurus selepas menerima panggilan kecemasan, jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari balai terlibat digerakkan untuk operasi pemadaman.
“Tiba di lokasi kejadian, didapati rumah jenis separuh kekal telah terbakar hampir 60 peratus. Api turut merebak ke rumah sebelah lantas menyebabkan kerosakan hampir 10 peratus.
“Tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.
Tambah Hazalani, api berjaya dikawal pada pukul 2.57 petang dengan kekuatan 17 anggota.
“Jarak ke lokasi dari balai terdekat adalah empat kilometer. Premis yang terlibat berkeluasan 40 kali 50 kaki persegi. Tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran ini,” jelasnya. – UTUSAN










