Dua beradik ditemukan mati lemas dalam parit - Utusan Malaysia

Dua beradik ditemukan mati lemas dalam parit

MAYAT dua beradik yang ditemukan lemas dalam parit di Batu 12, Jalan Segari, Pantai Remis dekat Beruas. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Dua beradik ditemukan mati lemas dalam sebuah parit tidak jauh dari rumah mereka di Batu 12, Jalan Segari, Pantai Remis dekat sini petang semalam.

Mayat kedua-dua beradik lelaki berusia enam dan empat tahun itu ditemukan dalam parit oleh abang sulung berusia 10 tahun sebelum memberitahu ibu mereka yang kemudian meminta bantuan orang ramai untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, polis menerima maklumat kejadian itu pada pukul 7 malam sebelum Ketua Balai Polis Segari bersama anggota pergi ke tempat kejadian 10 minit kemudian.

“Setibanya pihak polis di lokasi tersebut, didapati dua mayat kanak-kanak lelaki tersebut telah diletak atas lantai hadapan rumah dan Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Pantai Remis yang hadir pukul 7.15 malam mengesahkan kematian dua kanak-kanak itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua kanak-kanak itu bersama abang sulung mereka tinggal bersama ibunya yang berusia 36 tahun di sebuah rumah di situ.

Jelasnya, kedua-dua mangsa telah keluar bermain di luar kawasan rumahnya pukul 5 petang ketika ibu mereka sedang memasak dan 30 minit kemudian wanita itu meminta anak sulungnya untuk mencari mereka.

“Abang mangsa kemudian menemukan kedua-dua adiknya berada di dalam parit berhampiran dan terus memaklumkan kepada ibunya.

“Ibu mangsa telah meminta bantuan orang awam di situ untuk menyelamatkan dua beradik itu sebelum kedua-dua mangsa dibawa dan diletakkan di hadapan rumahnya sementara menunggu bantuan seterusnya,” katanya.

Nor Omar berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung di sini untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya, setakat ini siasatan didapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya