Doktor ditemui meninggal dunia dalam bilik hotel alami kemurungan

Doktor ditemui meninggal dunia dalam bilik hotel alami kemurungan

AIDI SHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang doktor yang ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik di sebuah hotel di Pasir Panjang, di sini pada petang Jumaat lalu difahamkan mengalami kemurungan yang berkemungkinan berkaitan dengan pekerjaannya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa kepada pihak polis.

“Mangsa dikatakan mengalami kemurungan berkemungkinan disebabkan oleh pekerjaannya dan perkara tersebut dimaklumkan ketika temubual dengan keluarga mangsa.

“Pihak polis juga ada menemui beberapa jenis ubat-ubatan berkaitan kemurungan di dalam bilik tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang wanita yang merupakan pegawai perubatan di sebuah hospital kanak-kanak di Petaling Jaya, Selangor ditemukan meninggal dunia di sebuah hotel di Pasir Panjang, di sini pada petang 20 Mei lalu..

Aidi Sham berkata, pada pukul 2 petang, pihaknya telah menerima maklumat daripada pekerja sebuah hotel di Pasir Panjang yang telah menemui seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di atas katil bilik hotel tersebut. 

“Siasatan awal pihak polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah didapati di tempat kejadian dan semakan dari pihak hotel mendapati mangsa telah mendaftar seorang diri pada 19 Mei lalu.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Pasir Panjang pada pukul 2.56 petang. Si mati yang berusia 37 tahun dan masih bujang,” katanya.

Aidi Sham berkata, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan bedah siasat telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Port Dickson dan punca kematian tidak dapat dikenal pasti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya