PETALING JAYA: Terdapat rakyat Malaysia yang didakwa dijadikan mangsa sindiket antarabangsa penipuan ‘online’ dipercayai enggan pulang ke tanah air.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, hal ini berlaku disebabkan mangsa-mangsa tersebut telah mendapat komisyen hasil penipuan yang dilakukan.
“Difahamkan hasil keterangan daripada mangsa yang dibawa pulang ke sini, terdapat lagi mangsa di sana namun tidak mahu pulang kerana mereka mendapat keuntungan hasil ‘kerja’ dilakukan.
“Sehingga kini, seramai 115 orang yang terdiri daripada 100 lelaki dan 15 wanita berusia antara 17 hingga 41 tahun yang masih berada di negara-negara tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Abd. Jalil, setakat ini, sebanyak 110 laporan polis diterima pihaknya melibatkan rakyat Malaysia yang dieksploitasi menjadi buruh paksa di beberapa negara Asia Tenggara.
Ujar beliau, kesemua mereka dikesan masih berada di Laos, Myanmar dan Kemboja.
“Siasatan kita mendapati mereka dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ untuk penipuan ‘Love Scam’.
“Malah, ketika tiba di sana, mereka turut diberikan kursus dan latihan selama seminggu cara-cara untuk memperdaya mangsa,” ujarnya.
Bagaimanapun, Abd. Jalil berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut dan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara berkaitan bagi membawa balik rakyat yang terperangkap di sana.
Katanya, siasatan lanjut mendapati mereka telah berada di negara itu sejak enam bulan lalu.
“Usaha mengesan dan membawa pulang sedang dijalankan malah sebelum ini kita telah berjaya membawa pulang rakyat Malaysia yang dijadikan mangsa sindiket antarabangsa,” ujar beliau.
April lalu, seramai 12 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2)
Usaha membawa pulang kumpulan 16 warganegara Malaysia itu adalah hasil kerjasama antara Kementerian Luar Negara, Polis Kemboja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Negara ASEAN (ASEANAPOL).
Ini selepas ahli keluarga membuat laporan mendakwa anak mereka dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ selepas terpedaya dengan iklan peluang pekerjaan di Facebook yang menawarkan pendapatan lumayan sebagai pegawai khidmat pelanggan.
Malah, kesemua kos perjalanan ditanggung pihak syarikat, setelah mangsa tiba dokumen perjalanan mereka telah dirampas dan pergerakan mereka dikawal serta dikurung dengan kawalan ketat. – UTUSAN