PETALING JAYA: Biro Ekonomi Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan dasar gaji minima yang dilaksanakan kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hari ini jelas merosakkan ekonomi serta mendiskriminasi ramai perusahaan mikro yang majoritinya daripada kaum Melayu dan Bumiputera.
Pengarahnya, Ammar Atan berkata, rata-rata pemilik perniagaan yang ditemui mengeluh dihimpit kos gaji yang melonjak tinggi susulan kenaikan 25 peratus pada ketika operasi perniagaan masih belum pulih sepenuhnya.
Katanya, ini kerana semua industri termasuk yang mengalami kerugian pada tempoh pandemik, dipaksa membayar gaji lebih tinggi bermula 1 Mei lalu.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan BN-PN dilihat tidak mempunyai perancangan jangka panjang yang relevan pengumuman secara terburu-buru itu semata-mata untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ingin kelihatan sebagai ‘hero’ di Perhimpunan Agung UMNO lepas.
“Dasar gaji minima yang dilaksanakan kerajaan BN-PN telah menganak-tirikan dan mendiskriminasi rakyat Malaysia yang bekerja di perniagaan mikro. Kerajaan membenarkan majikan perniagaan mikro, yang mempunyai kurang daripada 5 pekerja, melengahkan pelaksanaan gaji sehingga tahun depan.
“Tindakan ini mendiskriminasi pekerja-pekerja dalam hampir 1 juta perniagaan mikro di Malaysia. Di mana keadilan jika rakyat Malaysia menerima gaji minima yang berbeza walaupun bekerja di kawasan atau sektor yang sama?.
“Maka jelaslah bahawa Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia gagal sebagai pemimpin negara. Tiada ‘grace period’ diberikan untuk syarikat-syarikat bersedia melaksanakan gaji minima baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Juster, Ammar menggesa kerajaan BN-PN agar memperkenalkan sistem gaji minima yang adil kepada majikan dan pekerja.
Ujarnya, majikan yang mengalami isu aliran tunai tidak harus ditekan dengan beban gaji lebih tinggi, dan pada masa yang sama, pekerja tidak boleh dianak-tirikan.
“Saya mengusulkan bahawa paras gaji minima RM1,500 dilaksanakan di semua sektor di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan pendekatan hanya majikan di sektor atau syarikat tertentu yang menjana keuntungan besar pada tempoh pandemik diperintah bayar gaji minima RM1,500, manakala gaji minima kekal pada RM1,200 tanpa mengira saiz perniagaan.
“Kerajaan disaran agar menampung tambahan upah sebanyak RM300 kepada pekerja-pekerja ini (yang dikekalkan gaji minima) dalam bentuk suntikan tunai selama 12 bulan bagi memberi masa persediaan kepada sektor mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada paras gaji minima baharu.
“Kurang daripada 10 peratus pekerja PMKS atau 730,000 individu dianggarkan bergaji bawah RM1,500. Kalaupun suntikan tunai RM300 diberikan kepada 730,000 individu ini, kos yang perlu ditanggung kerajaan hanyalah RM219 juta sebulan. Manfaat daripada ini sangat besar dan berimpak kepada ekonomi negara,” katanya.
Ammar menambah, dengan adanya penambahan suntikan dana daripada kerajaan, kuasa beli rakyat dapat dikukuhkan dan dapat mengelakkan para majikan melengahkan proses mengembangkan operasi mereka ekoran bebanan kos.
“Masih belum terlambat untuk kerajaan BN-PN membetulkan kesilapan mereka. Jangan kerana silap ini rakyat dan majikan di Malaysia dianaiyai,” jelasnya. – UTUSAN










