Dana Yayasan Akalbudi bukan duit rakyat atau hasil sumbangan kerajaan - Ahmad Zahid

Dana Yayasan Akalbudi bukan duit rakyat atau hasil sumbangan kerajaan – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) tiba bagi sambung bicara 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi beliau di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur/ - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada satu sen pun dana milik Yayasan Akalbudi yang mencecah puluhan juta ringgit diperoleh daripada wang rakyat atau hasil sumbangan kerajaan.

Sebaliknya, Presiden UMNO itu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sumber dana yayasan itu adalah daripada pendapatannya sendiri sebelum menganggotai pentadbiran kerajaan dan sumbangan daripada rakan perniagaan.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri, sebelum menganggotai kerajaan, beliau terlibat dalam urusniaga korporat dan pendapatannya ketika itu melebihi keperluan perbelanjaan keluarga.

Ahmad Zahid, 69, berkata, beliau pernah mengetuai empat buah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Kuala Lumpur dan memegang jawatan sebagai pengerusi eksekutif, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) selain berjawatan Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).

Ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, atas nasihat bapanya yang ketika itu mudir atau pengetua sekolah agama di daerah tersebut, beliau menggunakan lebihan pendapatan untuk disalurkan kepada pihak-pihak yang memerlukan dalam bentuk amal jariah, wakaf dan infak.

“Ertinya dana dalam Yayasan Akalbudi merupakan pendapatan peribadi saya di samping hasil dividen atau keuntungan daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat untuk dimasukkan dalam tabung yayasan,” ujarnya.

Menurut Ahmad Zahid, namun demikian wang dana juga berpunca daripada sumbangan tokoh-tokoh perniagaan yang tiada kena mengena dengan portfolio yang dipegangnya.

Ahmad Zahid menyatakan demikian ketika disoal oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal ketika sesi pemeriksaan utama dalam prosiding bela diri di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang masuk hari ketiga hari ini.

Ahmad Zahid sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya