Dakwaan pelanggaran status halal: Kerajaan gantung serta-merta Thomas Foods Australia - Utusan Malaysia

Dakwaan pelanggaran status halal: Kerajaan gantung serta-merta Thomas Foods Australia

LAPORAN muka depan Utusan Malaysia mengenai pemberian status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia menggantung serta-merta kelulusan yang diberikan kepada Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh berhubung kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal loji penyembelihan itu.

Perkara itu diputuskan sebulat suara dalam satu sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australia yang diadakan semalam.

Dalam satu kenyataan bersama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff dan Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr. Mohd. Norlizan Mohd. Noor memaklumkan, pada masa sama, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan tersebut akan diberi surat tunjuk sebab.

Katanya, SICHMA turut berhadapan dengan kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf Jakim sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

“Jakim dan JPV memberi perhatian serius berkenaan dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal loji sembelihan di Australia ini yang telah mendapat kelulusan untuk mengeksport daging halal ke Malaysia.  

“Jakim telah menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan berkenaan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa Australia. Jakim juga telah mengatur pertemuan dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (Pekemas) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan gesaan tokoh-tokoh agama untuk menggantung sementara peng­importan daging di rumah sem­belihan TFI itu sementara menunggu siasatan menyeluruh dilaksanakan.

Ia susulan pendedahan Utusan Malaysia sejak 14 April lalu berhubung status halal rumah penyembelihan haiwan itu yang diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Laporan itu dibuat berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

Ini termasuk pengakuan terbuka sumber uta­ma bekas pekerja yang juga penyembelih di syarikat rumah sembelihan itu yang tampil mengakui segala dakwaan yang didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video yang dikongsi adalah benar.

Bagaimanapun, dalam maklum balas kepada Utusan Malaysia kelmain, TFI menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan ditujukan terhadap syarikat rumah sembelihan di Lobethal, Australia itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya