Cuba selamatkan rakan, tiga kanak-kanak lemas di parit

Cuba selamatkan rakan, tiga kanak-kanak lemas di parit

LOKASI tiga kanak-kanak ditemukan lemas di parit Kampung Bunga Raya, Kota Kinabalu pada Isnin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Cubaan dua kanak-kanak menyelamatkan seorang rakan yang terjatuh ke dalam parit selebar 15 kaki tidak berhasil apabila ketiga-tiga mereka ditemukan lemas di parit Kampung Bunga Raya di sini dalam kejadian Isnin lalu.

Ketiga-tiga kanak-kanak perempuan berusia lima hingga 12 tahun yang merupakan warga Filipina itu disahkan meninggal dunia semasa tiba di Hospital Queen Elizabeth (HQE) I dan HQE II, kira-kira pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga kanak-kanak itu tergelincir lalu terjatuh ke dalam parit semasa sedang bermain di tebing parit berkenaan.

Lokasi kejadian terletak kira-kira 200 meter dari rumah kesemua mangsa yang mempunyai hubungan keluarga tinggal berjiran di kawasan setinggan di Kampung Bunga Raya tersebut.

Semasa kejadian, kedalaman air kira-kira empat hingga lima kaki kerana kejadian air pasang.

MOHD. ZAIDI ABDULLAH

MOHD. ZAIDI ABDULLAH

“Ketiga-tiga mangsa dikatakan keluar bermain di tebing parit sebelum salah seorang daripada mereka tergelincir lalu terjatuh ke dalam parit yang mempunyai air yang dalam.

“Susulan itu, mangsa kedua dan ketiga bertindak terjun ke dalam parit kerana cuba menyelamatkan mangsa pertama.

“Walau bagaimanapun, disebabkan tidak pandai berenang, ketiga-tiga mangsa telah lemas di parit berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zaidi, insiden itu disaksikan seorang remaja lelaki yang cuba menyelamatkan kesemua mangsa dengan membawa mangsa ke daratan.

Kesemua mangsa dibawa ke hospital menaiki ambulans dan kenderaan persendirian bagi menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di hosptial.

Jelas beliau, siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN