CRM kerjasama kaji dadah jadi ubat rawat denggi - Utusan Malaysia

CRM kerjasama kaji dadah jadi ubat rawat denggi

AKHMAL Yusof (depan kanan) bersama Noor Azmi Ghazali bergambar bersama penerima-penerima pingat selepas Majlis Hari Kajian Klinikal di Kementerian Kesihatan (KKM), Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) bakal melakar sejarah apabila terlibat dalam kerjasama global bagi mengkaji dadah sebagai penawar kepada penyakit denggi.

 Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Akhmal Yusof yang bangga apabila Malaysia menjadi pilihan banyak negara kepada kajian perubatan bertaraf dunia.

 “Kita baru meterai kerjasama kurang tiga minggu lalu dan penyelidikan ini sangat mencabar kerana ada 23 bidang berbeza bagi mencari formula rawatan terbaik denggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Hari Kajian Klinikal dan sambutan sedekad CRM yang dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali di sini hari ini.

Syarikat berkenaan ditubuhkan Kementerian Kesihatan pada 20 Mei 2012 untuk memajukan kajian klinikal ditaja menerusi penyelidkan perubatan saintifik berkualiti di seluruh negara.

Walaupun dianggap masih muda, CRM sejak itu sudah berjaya melaksanakan lebih 1,800 kajian klinikal ditaja, iaitu yang kedua paling tinggi di rantau Asia Tenggara selepas Singapura.

Mengulas lanjut, Akhmal berkata, kerjasama terbaharu itu turut membabitkan banyak negara luar antaranya Brazil, India dan Thailand kerana mempunyai masalah denggi yang sama.

“Penyakit bawaan nyamuk aedes ini hanya terdapat di kawasan beriklim tropika dan hasil kajian itu bakal membolehkan dadah diubah suai untuk merawat penyakit denggi,” jelasnya.

Tidak ketinggalan ujarnya, ialah kerjasama dengan Institut Kanser Tokyo di Jepun yang akan mencari ubat bagi proses rawatan pelbagai jenis penyakit barah terutama peringkat serius.

Bagaimanapun, butiran terperinci dua penyelidikan termaju itu tidak dapat didedahkan kerana melibatkan beberapa isu namun beliau bersyukur, Malaysia mula dikenali di peringkat dunia.

Bahkan, kelmarin Hospital Ampang di Selangor mula dijadikan pusat kajian klinikal ke atas manusia, iaitu kedua di negara ini selepas Hospital Umum Sarawak di Kuching pada 2020.

 Justeru, beliau berharap Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dapat meluluskan lebih banyak premis untuk dijadikan pusat kajian itu kerana hasilnya amat besar kepada negara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN