KUALA LUMPUR: Selepas hampir setahun pendedahan Utusan Malaysia mengenai masalah kemudahan asas yang dihadapi penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek di Mukim Ulu Yam, Hulu Selangor, kini mula mendapat perhatian daripada pihak kerajaan dan agensi.
Baru-baru ini, beberapa agensi termasuk pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan wakil Kerajaan Negeri Selangor turun padang bagi meninjau keadaan di Kampung Melayu Bukit Tarek, Hulu Selangor.
Antara agensi lain yang turut terlibat dalam sesi lawatan itu adalah wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) pusat dan negeri serta wakil dari Pejabat Daerah Hulu Selangor.
Setiausaha Bahagian KPLB, Datuk Mohd. Fadzli Mohd. Kamal berkata, pihaknya akan mempertimbang untuk memberi kemudahan asas kepada penduduk berkenaan.
“Kita akan membantu mana yang boleh kita bantu, antaranya yang ada dalam pertimbangan kita adalah membina jambatan untuk penduduk di sini. Kita akan pertimbangkan dan membincangkan mengenai perkara ini bersama pihak pengurusan tertinggi.
“Selain itu, kita juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan negeri kerana ia melibatkan tanah di bawah sistem perancangan pembangunan negeri Selangor di mana akhirnya infrastruktur ini akan kita serahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri,” katanya ketika menjelaskan keadaan kepada penduduk berkenaan baru-baru ini di Bukit Tarek, Hulu Selangor.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan nasib penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek yang masih belum menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya selama hampir 30 tahun.
Walaupun kedudukannya berhampiran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), seramai 300 penduduknya masih melalui kehidupan menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk bekalan elektrik sementara air hujan pula untuk kegunaan harian.
Tinjauan Utusan Malaysia juga turut mendapati, pemilik lot kebanyakannya adalah bekas kakitangan kerajaan seperti anggota polis, tentera, pesara, dan pegawai kerajaan.
Menurut Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kampung Melayu Bukit Tarek, Shamsiah Mohamad, pertemuan wakil KPLB turun padang bertemu dengan penduduk Jumaat lalu adalah tindakan lanjut daripada pertemuannya bersama Menteri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung isu tersebut bagi membincangkan langkah penyelesaian yang masih belum berakhir sejak 30 tahun dulu.
“Tidak sampai seminggu pertemuan antara wakil penduduk dengan menteri, akhirnya wakil kementerian turun padang sendiri meninjau Bukit Tarek, saya berasa lega,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Mahdzir memaklumkan satu berita gembira akan diumumkan dalam masa terdekat, namun tergantung sehingga hari ini.
Begitu juga Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini turut memaklumkan, pihaknya akan mengambil perhatian bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Susulan kenyataan Tuan Ibrahim, beberapa agensi di bawah kementeriannya telah turun padang meninjau keadaan di Bukit Tarek.
Selain itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminuddin Shari sebelum ini turut berkata, isu ini telah dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










