GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot penumpang di kedudukan 0.5 batu nautika timur Pangkalan Weld, dekat sini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, dalam operasi pada pukul 1.20 petang itu, nakhoda bot bernombor pendaftaran PPP 02307-P iaitu warga tempatan berumur 25 tahun turut ditahan.
Jelasnya, penahanan itu berikutan nama nakhoda tidak terdapat di dalam buku lesen yang dikeluarkan dan disyaki telah melakukan kesalahan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada pihak berkuasa.
“Pemeriksaan dan penahanan dilakukan semasa bot berkenaan dalam perjalanan mengambil penumpang di sebuah kapal tangki yang berlabuh di perairan Pelabuhan Pulau Pinang.
“Bot dan nakhoda ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abd. Razak menasihatkan pengusaha-pengusaha bot penumpang mematuhi undang-undang yang dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Tambah beliau, orang ramai serta komuniti maritim diseru memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.
“Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya. – UTUSAN









