Bomba selamatkan warga emas terperangkap banjir - Utusan Malaysia

Bomba selamatkan warga emas terperangkap banjir

SEORANG anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah menggendong seorang warga emas sejauh 300 meter sambil meredah banjir di Kampung Kabong, Johol, Kuala Pilah. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang warga emas berusia 83 tahun, diselamatkan anggota bomba dalam kejadian banjir di Kampung Kabong, Johol di sini malam tadi.

Mangsa, Benah Bujang diselamatkan kira-kira pukul 7.45 malam tadi oleh seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah yang menggendongnya sejauh 300 meter sambil meredah banjir hampir setengah meter.

Pegawai Operasi Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Abdul Halim Mohd. Yusof berkata, sebaik sahaja selesai melakukan kerja-kerja penyelamatan banjir membabitkan lima buah rumah dengan anggaran 12 penduduk di Kampung Dingkir, pihaknya menerima maklumat terdapat seorang warga emas yang masih berada di dalam rumah yang sudah pun dinaiki air di kampung bersebelahan.

“Warga emas berkenaan tinggal bersendirian bagaimanapun ahli keluarganya sudah menunggu di jalan utama.

“Dengan kekuatan enam anggota, kami melakukan operasi menyelamat ini dan warga emas berkenaan telah diserahkan kepada keluarga untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, cucu warga emas tersebut, Norizan Ondot, 54, berkata, dia yang menetap di Tampin pulang ke kampung dan sekitar pukul 5 petang, air sudah mulai naik di kawasan jambatan Kampung Dingkir.

Menurutnya, dia yang berasa tidak sedap hati segera menuju ke rumah neneknya itu yang tinggal berseorangan.

“Kami pujuk dia keluar namun tidak dapat membawanya keluar kerana air yang semakin naik serta arus deras. Mujurlah bomba datang menghulurkan bantuan segera bagi membawa nenek keluar dari rumahnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.