Bob Lokman bergantung mesin oksigen - Utusan Malaysia

Bob Lokman bergantung mesin oksigen

Keadaan Bob Lokman yang bergantung kepada masalah mesin oksigen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Masih terbayang keceriaan Bob Lokman baik dari segi tingkah laku mahupun pertuturannya yang kini berubah sekelip mata apabila selebriti itu kini tidak lagi mampu seaktif dahulu kerana menghidap masalah jantung.

Begitu juga dengan kudratnya yang terbatas dan terpaksa bergantung kepada mesin oksigen.

“Keadaan lemah sangat. Saya tidak boleh terlampau bergerak atau banyak bercakap. Doktor kata kadar penggunaan bateri jantung saya ini hanya mampu sehingga 10 peratus sahaja. Itulah saya reda, Allah nak uji lagi.

“Semua urusan rumah dan sara hidup sekarang saya terpaksa serah pada isteri (Relawati Daud, 44). Dia dan anak buat serunding untuk jual, sara keluarga,” kata Bob yang juga penulis lirik terkenal dan pendakwah semalam.

Bob yang sekarang menetap di Kota Bharu, Kelantan berkata, beliau terpaksa menghentikan rawatan masalah jantung di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum ini kerana tidak mampu membiayai kos yang tinggi.

Rawatan

“Cuma beberapa hari sahaja saya di IJN selepas dapat rawatan di Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Antarabangsa Malaysia, Kuantan di Pahang selama dua minggu sebelum Aidilfitri.

“Kos di IJN pun lebih RM4,500, saya tak mampu sebab itu terpaksa balik rumah,” katanya.

Tidak mahu terus mengalah kata Bob atau nama sebenarnya, Mohd. Hakim Lokman, beliau akan kembali ke Alor Setar pada hujung bulan depan untuk mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Dalam pada itu, menurut Relawati, mereka sekeluarga kini bergantung kepada hasil jualan serunding dan katering termasuk membiayai rawatan suaminya itu.

“Saya juga bercadang nak jual makanan selepas ini untuk tampung hidup. Abang Bob tidak boleh buat apa sekarang kalau gerak lebih atau cakap lebih penat jadi terpaksa guna mesin oksigen.

Jantung

“Kesihatannya makin teruk bukan sahaja masalah jantung tetapi buah pinggang juga. Doktor pantau tak bagi dia dialisis cuma perlu ambil ubat sebab suami tak boleh duduk lama-lama,” katanya.

Menurut Relawati, mereka sekeluarga kini risau memikirkan cara terbaik untuk membawa Bok ke Alor Setar kerana keadaannya yang sukar untuk menaiki kereta untuk tempoh lama.

Bob pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di HSB di sini pada 2020.

Mereka yang ingin memberi sumbangan kepada Bob Lokman untuk membiayai kos rawatannya boleh berbuat demikian melalui akaun milik isterinya, Relawati Daud, 162348359386. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×