LANGKAWI: Sebuah feri penumpang dan kenderaan (Roro) yang sedang dibaiki terbakar di limbungan pembaikan kapal di Bukit Malut di sini, malam tadi.
Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Fadzlullah Mohd. Noor berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Kedah menerima panggilan kecemasan melalui Sistem MERS 999 pada pukul 8.15 malam.
“Kebakaran melibatkan sebuah bilik stor di aras dua feri tersebut dan api dapat dipadamkan oleh orang awam setibanya pasukan bomba di lokasi.
“Tindakan pasukan bomba seterusnya membuat pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada lagi punca api,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN










