Bilik ikan sejuk beku kosong sejak pandemik Covid - Utusan Malaysia

Bilik ikan sejuk beku kosong sejak pandemik Covid

PENAT lelah nelayan keluar menangkap ikan mesti berbaloi dengan harga belian oleh peraih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Nelayan Kuala Kedah (PNKK) memberi alasan kekurangan bekalan ikan sejak pandemik Covid-19 lalu menyebabkan tempat simpanan ikan sejuk beku yang disediakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak beroperasi dalam tempoh tersebut.

Pengerusinya, Abdul Hamid Bahari berkata, sebelum ini, pihaknya tidak mendapat bekalan ikan secukupnya untuk disimpan di bilik sejuk beku dari 2020 hingga tahun lalu.

Malah, menurut beliau, sebelum pandemik juga, hasil tangkapan ikan nelayan tempatan juga berkurangan menyebabkan tempat simpanan ikan sejuk beku itu tidak beroperasi.

“Ketika pandemik Covid-19, kebanyakan nelayan terutamanya pemilik bot laut dalam tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana kekurangan pekerja asing.

“Pasa masa ini pula jumlah tangkapan ikan masih berkurangan sehingga harga ikan tinggi di pasaran dan tidak mampu dibeli oleh PNKK untuk disimpan dalam bilik sejuk tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Hamid memberitahu, bilik sejuk simpanan ikan di LKIM Kuala Kedah di sini dapat menampung kira-kira 100 tan metrik pada satu-satu masa.

Jelasnya, sebelum ini, PNK Kuala Kedah akan membeli ikan ketika berlaku lambakan ikan dan disimpan di bilik sejuk beku tersebut.

“Apabila berlaku kekurangan ikan di pasaran seperti musim tengkujuh, ikan yang disimpan dalam bilik sejuk beku itu dijual semula untuk menampung keperluan di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah LKIM Kedah, Dr. Syed Abd. Salim Tajudin ketika dihubungi pula tidak mahu memberi sebarang ulasan mengenai masalah tersebut.

Mingguan Malaysia pada 29 Mei lau melaporkan masalah birokrasi didakwa menyebabkan tempat simpan ikan sejuk beku LKIM kosong dan gagal memainkan fungsinya sebagai stok penyimpanan sumber protein negara.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kekurangan bekalan dan peningkatan harga ikan di pasaran selama ini bukan semata-mata disebabkan cuaca dan penguasaan kartel.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN