PETALING JAYA: Pas masih belum membuat sebarang ketetapan susulan dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia menyertai agenda ‘khemah besar’ yang dibawa oleh blok pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana parti itu setakat ini cuma menganggap dakwaan tersebut sebagai khabar angin.
Justeru katanya, sebarang ketetapan parti itu hanya diputuskan sekiranya ada perbincangan rasmi antara parti komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Sehingga ke hari ini kita tidak ada dalam perbincangan PN. Isu itu tidak pernah dibincangkan, jadi saya yakin sekiranya ada apa-apa perubahan atau hala tuju oleh parti komponen, ia akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.
“Jadi sekiranya mana-mana parti PN yang mahu buat jajaran baharu atau perbincangan dengan mana-mana pembangkang mesti dibawa MT sebab ia akan ada implikasi kepada PN dan mesti secara konsensus antara komponen PN.
“Setakat ini, pas tunggu perbincangan dan hanya anggap (dakwaan) hanya khabar angin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan parti itu sama ada akan ikut bersama atau meninggalkan PN sekiranya Bersatu memilih untuk berada dalam khemah besar.
Pada 24 April lepas, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah memberi bayangan parti itu bersedia menyertai agenda ‘khemah besar’ yang dibawa oleh blok pembangkang, apabila menyatakan kesediaan berunding dengan mana-mana parti bagi menghadapi pilihan raya umum.
Pengerusi PN itu berkata, kerjasama antara parti penting bagi memastikan saingan satu lawan satu dengan BN pada PRU15, sekali gus mengelakkan perpecahan undi. – UTUSAN











