Bersatu berhak kemuka nama calon pengganti Zuraida 

Bersatu berhak kemuka nama calon pengganti Zuraida 

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhak mengemukakan nama calon kepada Perdana Menteri sebagai pengganti Datuk Zuraida Kamaruddin yang melepaskan jawatan dalam Kabinet semalam.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara tersebut tidak perlu diperdebatkan memandangkan kedudukan Ahli Parlimen Ampang itu sebagai menteri adalah atas kuota parti tersebut seperti dinyatakan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambahan pula katanya, pelantikan menteri untuk menganggotai Kabinet sebelum ini, sememangnya dibuat bersandarkan pencalonan daripada parti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelantikan Perdana Menteri itu pun dibuat berdasarkan sokongan parti. Kalau ada sesiapa nak katakan Perdana Menteri boleh buat apa saja sesuka hatinya, lebih baik jadi Perdana Menteri kepada parti bebas kerana dengan cara itu mereka tidak terikat dengan keputusan dalam parti mahu pun gabungannya.

“Tujuan kita ada gabungan ini adalah untuk memastikan supaya ada pembahagian dari segi tanggungjawab serta amanah yang boleh dipikul secara bersama demi menjaga kebajikan rakyat. Memang betul urusan ini hak prerogatif Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri akan bertindak mengikut cadangan daripada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama pemandu teksi di Changlun dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kepada Utusan Malaysia semalam mengenai hak prerogatif Perdana Menteri yang perlu dihormati berhubung pelantikan pengganti Zuraida.

Menurut Khairy, mana-mana pihak tidak seharusnya memberikan tekanan kepada Perdana Menteri dalam hal itu dengan masing-masing sepatutnya membiarkan urusan pelantikan tersebut ditentukan Perdana Menteri saja.

Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin diyakini sudah memiliki nama calon yang sesuai memandangkan isu yang membelenggu Zuraida, bukanlah sesuatu yang baharu.

“Saya tak rasa Bersatu akan ambil masa terlalu lama untuk memberikan nama yang sesuai. Ketika ini Perdana Menteri dan Zuraida, kedua-duanya berada di luar negara dan kita berilah masa untuk semua proses berjalan dengan baik,” katanya.

Mengulas kemungkinan terdapat lagi Ahli Parlimen Bersatu yang bakal menuruti jejak Zuraida bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam masa terdekat, Wan Saiful berkata beliau tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung perkara tersebut.

“Ada juga saya dengar mengenai Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar tetapi yang lain tak ada. Mana-mana parti pun akan berusaha menarik sokongan, apatah lagi sebuah parti baharu seperti PBM. Jadi terpulanglah kepada mereka untuk menjemput sesiapa pun,” katanya.

Semalam, Zuraida  mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×