Berjasa tubuh majlis tindakan, terima keahlian dari tokoh-tokoh besar 

Berjasa tubuh majlis tindakan, terima keahlian dari tokoh-tokoh besar 

ZAMANI Ibrahim berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Parti Berjasa di Hotel Tamu, Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menubuhkan majlis tindakan bersama dinamakan Majlis Negarawan Berjasa sebagai saluran untuk mencurahkan sumbangan idea, tenaga dan buah fikiran. 

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, majlis itu dipengerusikan Naib Presidennya, Abdul Aziz Sardan dan dianggotai oleh 10 tokoh daripada pelbagai latar belakang mencakupi bidang pendidikan, ekonomi, rakyat, dasar luar negara, sosial, alam sekitar, pertahanan, sekuriti makan, teknologi dan data sains. 

Selain itu, katanya, majlis tersebut bakal menyediakan pasukan profesional berpengalaman dan berkepakaran tinggi untuk partinya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Berjasa amat yakin dan percaya dengan penubuhan majlis ini bakal memberi nafas baharu dalam menampilkan solusi terhadap isu-isu besar negara seterusnya membantu parti mengetengahkan dasar-dasar berwibawa dan mampan untuk rakyat. 

“Majlis ini juga menjadi semak dan imbang kepada dasar-dasar dan keputusan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar sambutan Hari Raya Aidilfitri Parti Berjasa, di sini hari ini. 

Yang hadir sama  ialah Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan; Ketua Koordinator Parti Warisan Johor merangkap bekas ADUN Kukup, Suhaimi Salleh; Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak dan Naib Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tengku Muid serta wakil Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra). 

Dalam pada itu, kata Zamani, partinya menerima permohonan pendaftaran kemasukan ahli baharu yang cukup memberangsangkan dalam tempoh beberapa bulan ini. 

Katanya, sebilangan besar keahlian yang diterima merupakan barisan tokoh berpengaruh terdiri dalam kalangan ahli akademik, bekas ketua-ketua pengarah jabatan kerajaan dan aktivis politik. 

“Ini merupakan tanda sokongan amat jitu terhadap agenda perjuangan besar parti selaras dengan identiti Berjasa iaitu kepimpinan baharu bercita-cita untuk membangunkan Malaysia sebagai negara unggul dan bermaruah. 

“Berjasa yakin ramai dalam kalangan tokoh-tokoh besar yang menyertai relung perjuangan ini adalah mereka yang ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan bagi membantu merealisasikan wajah baharu dalam lanskap politik,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya