Berjasa, Pejuang dan Warisan dalam jajaran baharu hadapi PRU-15 

Berjasa, Pejuang dan Warisan dalam jajaran baharu hadapi PRU-15 

ZAMANI IBRAHIM 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jajaran politik baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang diumumkan sebelum ini oleh Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) melibatkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan (Warisan). 

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, pihaknya telah berbincang dengan parti tersebut serta parti-parti lain di luar Pakatan Harapan (PH) untuk menyusun kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertanding pada pilihan raya. 

Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua pihak belum memutuskan nama gabungan rasmi yang digunakan dan membincangkannya dengan lebih lanjut. 

“Alhamdulillah, kita telah berbincang dengan beberapa parti untuk ke arah mewujudkan satu jajaran baharu, dan di sini pun telah berbincang dalam bentuk penyusunan kerusi. 

“Ini adalah peringkat akhir dan sebolehnya kita akan bertanding sebanyak mana kerusi. Insya-Allah, Berjasa akan mempelawa semua rakan parti untuk bersama menyusun kerusi dengan cantik supaya tidak berlaku pertembungan sesama kita.

“Kita tidak boleh mengharapkan Barisan Nasional (BN) dan PH kerana kita telah melihat bagaimana cara mereka memimpin, jadi, bagi saya kita perlu mengendalikan barisan pimpinan parti kecil untuk membina jajaran baharu dan Inshaallah akan bersedia bertanding di luar gabungan parti politik sedia,” katanya dalam sidang akhbar sambutan Hari Raya Aidilfitri Parti Berjasa, di sini hari ini. 

Yang hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan; Ketua Koordinator Parti Warisan Johor merangkap bekas ADUN Kukup, Suhaimi Salleh; Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak dan Naib Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tengku Muid serta wakil Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra). 

Pada Oktober tahun lalu, Berjasa dilaporkan membina jajaran politik baharu sekali gus membawa harapan rakyat negara ini menjelang pilihan raya umum seterusnya. 

Mengulas lanjut, ditanya bagaimana Berjasa dapat mencapai persefahaman dengan Pejuang dan Warisan ketika kedua-dua parti itu mempunyai ideologi dan pembawaan yang berbeza, Zamani optimis yang semua pihak dapat mengaturnya dengan baik. 

“Bagi saya tiada halangan, saya yakin dan percaya melalui perbincangan-perbincangan itu kita dapat mengatur urus perkara-perkara yang tiada persefahaman kerana paling penting, kita berdiri di atas untuk bersama membangunkan negara maju dan bermaruah serta tidak mahu terheret dalam kancah pergelutan kuasa,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya