Berita baik untuk veteran ATM diumum masa terdekat - Hishammuddin

Berita baik untuk veteran ATM diumum masa terdekat – Hishammuddin

HISHAMMUDDIN Tun Hussein beramah mesra dengan warga veteran ATM pada Sambutan 100 Tahun Persatuan Veteran ATM (PVATM) di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengumumkan berita baik buat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau bagaimanapun belum dapat mendedahkan perincian mengenai perkara itu buat masa ini.

“Saya di kementerian telah berusaha bersungguh-sungguh sejak sembilan bulan dan kita tunggu masa sahaja untuk mengumumkan perkara itu.

“Ia tidak dapat diumumkan sekarang kerana ada perkara melibatkan kementerianlain selain  berkait dengan jabatan lain di Kementerian Pertahanan serta perkara yang bersandar dengan peruntukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Acara Perbarisan Veteran Sempena Sambutan 100 tahun Persatuan Veteran ATM (PVATM) di Dataran Pahlawan, di sini.

Katanya, beliau memberi jaminan bahawa mana-mana perkara termasuk tuntutan dan keinginan veteran ATM yang dapat diselesaikan akan diumumkan segera.

Hishammuddin berkata, beliau akan mengkaji semula mana-mana keinginan veteran ATM dan mana-mana yang realistik boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Saya dimaklumkan ada empat sahaja tuntutan atau keinginan dibuat veteran ATM sebelum ini dan ia tiada beza masa ketika saya menjawat Menteri Pertahanan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin dalam ucapannya berkata, perincinan mengenai dua tuntutan iaitu pengampunan tribunal ATM dan tambah baik pencen terbitan untuk balu ATM akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Saya ingin jelaskan bahawa keinginan yang dibangkitkan veteran ATM ini memerlukan perancangan kewangan negara yang teliti apatah lagi ketika negara masih dalam usaha untuk pulih semula dari kesan-kesan pandemik selama lebih dua tahun ini.

“Namun, ini tidak bermakna anda tidak boleh meminta dan bersuara langsung sebaliknya ia boleh semestinya.

“Saya sendiri sentiasa meletakkan usaha pembelaan veteran ATM ini sebagai keutamaan sejak daripada dahulu dan selagi saya Menteri Pertahanan, percayalah pendirian saya tidak akan pernah berubah,” katanya.

Sebelum ini, veteran ATM termasuk PVATM memperjuang lima tuntutan utama termasuk pelarasan pencen, elaun sara hidup kepada veteran tidak berpencen, lembaga pengampunan untuk bekas tentera, tambah baik pencen terbitan kepada balu dan elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya