Belia perlu tampil melalui pelbagai peluang disediakan - PM

Belia perlu tampil melalui pelbagai peluang disediakan – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Generasi belia Keluarga Malaysia diminta untuk lebih tampil ke hadapan melalui pelbagai peluang disediakan selaras dengan sambutan Hari Belia Negara yang bertemakan ‘Ini Masa Kita’, kata Datuk Ismail Sabri Yaakob

Perdana Menteri berkata, tema ‘Ini Masa Kita’ mengingatkan semua betapa berharganya masa muda dan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, maka inilah masanya belia tampil selari dengan konsep ‘daripada belia untuk belia’.

Kata beliau, tema yang diputuskan itu juga sinonim dengan golongan belia yang pada masa kini untuk bersama-sama membangunkan negara, walau dalam apa sekalipun keadaan yang melanda.

“Penglibatan dan sumbangan generasi muda sangat diperlukan dalam memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia. Justeru, Kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan, pencapaian, usaha, daya bangkit dan suara seluruh warga belia.

“Malah, Kerajaan juga sentiasa peka dan prihatin dengan isu yang melanda golongan belia khususnya dalam menurunkan kadar pengangguran. Berdasarkan dapatan Indeks Belia Malaysia tahun 2021 bagi Domain Ekonomi, skor bagi kebolehpekerjaan ialah 42.01,” katanya dalam perutusan sempena Hari Belia Negara, hari ini. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, terdapat lebih 20 inisiatif yang boleh dimanfaatkan golongan belia secara langsung atau tidak langsung melalui Bajet 2022 telah diumumkan kerajaan. 

Katanya, antara lainnya penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, sejajar dengan perkembangan sektor perniagaan yang sekali gus akan menempatkan ekonomi pada landasan pemulihan yang tepat.

“Salah satu inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan melalui Bajet 2022 adalah inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan pada 19 Februari lalu bagi membantu memperkukuhkan ekonomi belia.  

“Mengambil semangat konsep job guarantee, komitmen Jamin Kerja menjamin 600,000 peluang pekerjaan terutamanya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda dengan peruntukan bernilai RM4.8 bilion. 

“Kerajaan sedar cabaran yang bakal kita hadapi pasca Covid-19 akan lebih hebat terutamanya dalam sektor ekonomi. Oleh sebab itu, di bawah RMK-12, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia untuk hala tuju strategik dalam meningkatkan kebolehpasaran dan tahap ekonomi belia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN