SEREMBAN: Bekas wartawan hiburan Utusan Melayu, Mustafar Abdul Rahim atau lebih dikenali dengan nama Mustafar AR, 79, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini malam semalam.
Menurut anak kedua Allahyarham, Muszaidi Mustafar, 50, bapanya itu meninggal dunia kira-kira pukul 7.25 malam selepas mendapatkan rawatan di hospital berkenaan akibat komplikasi jantung, buah pinggang dan paru-paru.
“Allahyarham bapa mula dimasukkan ke hospital sejak 15 hari yang lalu. Dia kemudian dipindahkan ke Hospital Rembau.
“Bagaimana Allahyarham dipindahkan semula ke HTJ kelmarin kerana perlu menjalani beberapa prosedur sebelum ahli keluarga dimaklumkan bapa meninggal dunia, malam semalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Muszaidi, jenazah Allahyarham kini berada di kediaman keluarga di Taman Desa Ixora, Senawang di sini.
“Jenazah akan disembahyangkan di Taman Bandar Senawang sebelum dijangka dikebumikan kira-kira pukul 10 pagi di Tanah Perkuburan Islam Senawang,” katanya.
Tambahnya, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Zaini Yusop, 76, dan empat orang anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berusia 41 sehingga 51 serta 15 orang cucu dan dua orang cucu tiri.
Allahyarham mula bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu pada 1972 sebelum bersara sebagai wartawan Utusan Malaysia pada 1998.
Allahyarham juga pernah menghasilkan buku bertajuk Filem-Filem P. Ramlee bersama seniman Allahyarham Aziz Sattar dan sebuah lagi buku bertajuk 50 Tahun Filem Malaysia & Singapura (1930-1980) juga hasil cetusan idea seniman tersebut. – UTUSAN