JOHOR BAHRU: Bekas Setiausaha Organisasi MCA Pusat yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong mengumumkan keluar parti berkuasa kuasa serta merta hari ini.
Siew Kiong, 58, yang juga bekas Penasihat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, tindakannya itu secara tidak langsung dapat memenuhi hasrat terbesar dan terakhir Presiden parti, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah melakukan pertimbangan yang teliti dan mendengar pendapat semua pihak, penyokong dan ahli MCA khususnya Bahagian Pontian.
“Hari ini merupakan hari terakhir tempoh rayuan selama 14 hari terhadap keputusan menggantung keahlian parti selama lima tahun. Saya umumkan keputusan ini (keluar parti) dan tidak akan membuat rayuan.
“Ini kerana tidak akan berlaku sebarang perubahan lebih-lebih lagi apabila cadangan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib pun boleh diubah, jadi keputusan rayuan juga dalam jangkaan kita. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong saya di seluruh negara atas pelbagai cadangan dan pendapat mereka.
“Bagi mengelakkan parti daripada terus menjadi huru-hara, saya secara rasminya mengumumkan akan keluar daripada parti MCA berkuat kuasa serta-merta,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Ekonomi Digital Johor, Danga Bay di sini hari ini.
Sebelum ini, Siew Kiong mengesahkan keahliannya dalam parti berkenaan telah digantung selama lima tahun berkuat kuasa serta merta setelah menerima surat makluman perkara itu pada 13 Mei, lalu.
Bekas Ketua MCA Bahagian Pontian itu tidak menjangka akan dikenakan tindakan tegas sedemikian kerana ada ahli parti lain yang melakukan kesalahan sama hanya dikenakan tindakan penggantungan keahlian antara setengah tahun atau tiga tahun.
“Saya berasa pelik kenapa parti mengenakan tindakan tegas terhadap saya atas kejadian mengadakan ‘live’ dan sidang media semata-mata untuk jelaskan kebenaran sahaja.
“Hukuman ini tidak masuk akal, saya tidak sangka tindakan bercakap benar mampu membolehkan Presiden MCA menggerakkan jentera parti untuk menggantung keahlian saya selama lima tahun,” katanya.
Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah Johor itu berkata, buat masa ini beliau berhasrat untuk berehat seketika dari dunia politik bagi meluangkan masa bersama keluarganya.
Katanya, dia yang sudah berkecimpung dalam dunia politik bersama MCA sejak 35 tahun lalu belum membuat pertimbangan untuk menyertai mana-mana parti politik yang lain dan hanya berserah kepada takdir.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang itu tidak menolak kemungkinan akan menyertai semula parti sekiranya Ka Siong bukan lagi Presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) itu. -UTUSAN










