TAMPIN: Seorang bekas atlet paralimpik negara bagi sukan bola keranjang kini hanya berniaga minuman serta keropok lekor bagi meneruskan kehidupan selepas khidmatnya tidak lagi ditagih Majlis Sukan Negara (MSN).
Mohd. Rozaimi Johari, 28, berkata, selepas MSN mengecilkan peruntukan, khidmatnya juga dihentikan dan dia tidak lagi menerima elaun kira-kira RM2,000 sebulan.
“Saya sudah dua bulan menjual minuman serta keropok lekor di Air Kuning Selatan, Gemencheh bersama rakan sekampung, Mohd. Asraf Yook, 27, bermula pukul 3 petang sehingga selesai jualan yang biasanya sebelum menjelang senja.
“Ini sahaja yang saya lakukan kerana ketika pandemik Covid-19, pasukan kami sudah hampir tiga tahun tidak menyertai mana-mana pertandingan dan pihak pengurusan pula terpaksa mengecilkan operasi.
“Bagaimanapun, saya ada menerima elaun bulanan orang kurang upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan. Jadi jualan saya bersama rakan ini secara tidak langsung, dapat menambah pendapatan dan dapat berdikari sendiri,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Mohd. Rozaimi berkata, buat masa ini, dia masih belum membuat keputusan untuk mencari pekerjaan tetap memandangkan sedang menunggu untuk menyertai pertandingan bola keranjang di Phuket, Thailand di bawah persatuan di negara jiran itu.
“Buat masa ini, saya mahu fokus pada perlawanan bulan ini di Phuket, Thailand. Latihan juga akan diadakan di sana dan nasib saya dan beberapa rakan yang lain dalam sukan ini akan diketahui selepas pertandingan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Mohd Asraf berkata, dia sebelum ini hanya bekerja kampung dan baharu berjinak-jinak berniaga bagi memberi semangat serta sokongan kepada Mohd. Rozaimi mencari rezeki.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada duit untuk digunakan membeli keperluan sendiri. Ada masa kami dapat untuk keuntungan bersih lebih RM100 sehari,” katanya. – UTUSAN










