Bekalan barang: KPDNHEP ketengah usaha rentas kementerian

Bekalan barang: KPDNHEP ketengah usaha rentas kementerian

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengetengahkan usaha rentas kementerian dalam mesyuarat Kabinet yang diawalkan esok bagi menangani isu kos sara hidup dan bekalan barang. 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha tersebut mencakupi beberapa aspek asas di bawah kawal selia kementeriannya. 

“Intipati ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet esok seperti diarahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan, Perdana Menteri berkata, mesyuarat Kabinet diadakan esok bagi membincangkan dua isu utama negara iaitu isu kos sara hidup dan bekalan barang. 

Ismail Sabri berkata, beliau telah meminta agar mesyuarat itu dipercepat bagi membincangkan banyak isu negara khususnya berkenaan kos sara hidup yang melanda seluruh negara.

Terdahulu, Alexender mengalu-alukan mesyuarat yang dipercepat esok kerana bakal menentukan langkah intervensi kerajaan dalam merungkai isu barangan keperluan harian, khususnya bekalan ayam. 

Beliau berkata, langkah intervensi itu harus berteraskan rentas kementerian dan whole of government atau keseluruhan kerajaan, demi memastikan sebarang usaha penyelesaian tidak dilaksanakan secara ‘silo’ dan tiada kesinambungan.

“Keputusan Jemaah Menteri, seperti diumumkan Perdana Menteri untuk memansuhkan permit import (AP) memang bertepatan dengan hasrat untuk menjamin kelangsungan bekalan. 

“Mekanisme pendekatan ini dibuat berteraskan jangkaan bahawa pemansuhan AP akan mencetuskan lambakan bahan bekalan di pasaran. Justeru, ia akan memberi kelebihan kepada pengguna, memandangkan bekalan lebih mudah didapati berbanding keadaan semasa,” ujarnya. 

Selain itu, beliau berkata, daya saing di pasaran membabitkan barangan keperluan asas akan lebih kompetitif dan diunjur bakal mencetuskan pengurangan harga, mengikut kuantum tertentu bergantung kepada aspek kualiti dan pembungkusan. 

“Pengumuman lanjut oleh Perdana Menteri untuk memperluas langkah pemansuhan AP supaya turut mencakupi barangan keperluan asas lain juga amat selari dengan keadaan semasa sekarang. 

“Ini kerana keadaan pasaran global yang dipacu pelbagai faktor luar jangka seperti kadar tukaran wang asing dan polemik peperangan Ukraine-Russia mencetuskan kesan drastik ke atas rantaian,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata, pemansuhan AP itu mengambil masa untuk ia memberi kesan positif kepada pengguna.

Katanya, ini kerana, ia bergantung kepada betapa cepat proses perolehan dilakukan, pensijilan halal, pemeriksaan kastam dan sebagainya. 

“Sehubungan itu, kita tidak boleh mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ pasca keputusan pemansuhan AP untuk ia memberi kesan pemulihan terhadap aspek perbekalan barangan keperluan harian di pasaran,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN