KOTA KINABALU: Sabah tidak berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan ayam pada masa ini.
Justeru, pengguna di negeri ini tidak perlu bimbang dengan isu kekurangan bekalan ayam seperti yang berlaku di Semenanjung Malaysia.
Demikian jaminan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan mengenai isu bekalan ayam di Sabah.
“Di Sabah, kita masih banyak ayam, setiap keluarga juga pelihara ayam jadi kesan kekurangan bekalan ayam tidak teruk di Sabah. Walaupun kita mengimport ayam namun, jumlah bekalan yang diimport tidak banyak.
“Namun, ketika musim perayaan bekalan ayam import dikhuatiri akan berkurangan dan itulah yang menyebabkan harga ayam meningkat,” katanya dalam sidang akhbar sempena Pesta Kaamatan hari ini.
Menteri Pertanian dan Perikanan itu berkata, ketika ini, Sabah mengeluarkan sebanyak 6.6 juta kilogram ayam dan telur ayam sebanyak 2.5 juta biji dalam tempoh sehari.
Sekiranya berlaku masalah kekurangan bekalan ayam, pengguna di negeri ini boleh beralih kepada bekalan ayam kampung, biarpun harganya lebih mahal.
Maka, masyarakat di negeri ini digalakkan untuk menghasilkan makanan sendiri dengan memelihara ayam.
Mengulas tentang keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam, situasi itu tidak memberi kesan yang besar kepada industri ternakan ayam Sabah.
Beliau berkata, tidak banyak pengusaha yang mengeksport ayam ke luar negara di Sabah jadi, pembekuan eksport yang akan berkuat kuasa pada bulan hadapan tidak menjejaskan keadaan di negeri ini.
“Apa yang membimbangkan pada masa ini adalah jika negara pengeksport ayam menghentikan eksport untuk kegunaan mereka sendiri tapi, saya harap ia tidak berlaku,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil.
Ismail Sabri berkata, perkara itu merupakan langkah jangka pendek menangani isu peningkatan harga dan bekalan ayam yang berlaku pada masa ini.-UTUSAN
Ends.
250522-Sbh-ayamCukup
JEFFREY Kitingan (kiri) semasa sidang akhar sempena Pesta Kaamatan di Kota Kinabalu hari ini.










