fbpx

30 Jun 2022, 10:16 am

  TERKINI

Bekalan ayam di pasar awam Batu Gajah pulih

PENIAGA, Azwawati Meor Abdul Malek menjalankan perniagaan seperti biasa setelah kembali menerima bekalan ayam di Pasar Awam Batu Gajah, hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Peniaga di Pasar Awam Batu Gajah di sini kembali menerima bekalan ayam hari ini selepas dua hari tidak menjalankan perniagaan berikutan tiada penghantaran ayam kepada mereka sejak Ahad lalu. 

Tinjauan di Pasar Awam Batu Gajah di sini mendapati,  peniaga kembali berniaga seperti biasa pagi ini dan tidak berlaku keadaan bersesak pembeli untuk membeli ayam.

Seorang peniaga, Muhammad Taufiq Meor Saradi, 25, berkata, dia lega kerana dapat berniaga seperti biasa setelah peniaga di pasar itu kembali menerima bekalan ayam.

Menurutnya, dia menerima bekalan ayam daripada dua pembekal.

“Saya mendapat bekalan ayam daripada dua pembekal kerana peniaga hanya boleh mengambil 10 bakul ayam daripada satu pembekal.

“Jadi, saya terpaksa mengambil bekalan ayam daripada dua pembekal bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya. 

Menurutnya, untuk hari ini, dia hanya menjual secara terus 20 ekor ayam kepada pelanggan yang datang di pasar manakala selebihnya untuk pelanggan yang membuat pembelian secara tempahan.

“Saya mendapat 160 ekor ayam tetapi 20 sahaja dapat dijual kepada pembeli di pasar, selebihnya telah ditempah oleh pelanggan,” katanya. 

Katanya, kebanyakan pelanggan menempah ayam sehari lebih awal tanpa menghiraukan harga kerana mahu memastikan mereka mendapatkan bekalan.

“Ayam segar dijual dengan harga RM11 satu kilogram tetapi tiada pelanggan yang merungut malah sempat membandingkan harga ayam dari kedai sejuk beku dan pasar,” katanya. 

Menurutnya, keadaan di pasar hari ini tidak sesak dan tiada pembelian panik berlaku berbanding sebelum heboh tiada bekalan sebelum ini.- UTUSAN

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI