Bayi termakan racun semakin pulih

Bayi termakan racun semakin pulih

KEADAAN Ku Nur Khayla Ku Muhammad Shukri yang dipercayai termakan racun semakin pulih selepas hampir 12 hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang bayi perempuan berusia setahun yang kritikal selepas dipercayai termakan racun ketika pulang beraya di rumah neneknya, di Taman PKNK, di sini, pada 11 Mei lalu dilaporkan semakin pulih.

Bayi tersebut, Ku Nur Khayla Ku Muhammad Shukri, 1, yang sebelum ini dirawat dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dibenarkan pulang ke rumahnya kelmarin.

Ibu mangsa, Nur Hidayah Azman, 28, berkata, semua racun di dalam badan telah dibuang dan tiada sebarang kerosakan organ dalaman pada badan anaknya disebabkan racun tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pergerakan yang melibatkan otot-otot badan Ku Nur Khayla menjadi lemah mungkin disebabkan kesan ditidurkan dalam satu tempoh agak lama.

Katanya, selain itu, anaknya juga seolah-olah telah ‘lupa’ beberapa pergerakan yang lazimnya dilakukan seperti cara hisap susu, senyum, bersuara, merangkak, duduk dan berdiri.

“Anak saya masih perlukan pemantauan untuk pulih seperti sedia kala memandangkan dia belum dapat berdiri dan berjalan seperti biasa.

“Kami akan sambung rawatan susulan untuknya selepas pulang ke Johor nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Nur Hidayah mengucapkan terima kasih kepada HSB dan semua pihak yang mendoakan keselamatan anaknya itu sehingga Ku Nur Khayla sembuh.

“Ujian ini memang berat buat kami sekeluarga namun saya bersyukur kerana anak selamat dan kembali ke sisi,” ujarnya.

Pada 11 Mei lalu, Ku Nur Khayla dilaporkan termakan serbuk putih beracun di rumah neneknya sebelum badannya menjadi lemah.

Ibu bapanya membawanya ke klinik berdekatan namun pihak klinik meminta mereka untuk terus membawanya ke hospital.

Ku Nur Khayla kemudian ditidurkan oleh pihak hospital susulan keadaan pernafasannya yang tidak stabil dipercayai kesan daripada racun tersebut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya