KOTA BELUD: Aktiviti selam skuba yang dahulu menjadi tarikan Pulau Mantanani kini bertukar menjadi suram apabila lebih separuh pengusaha selam skuba gulung tikar akibat pandemik Covid-19.
Daripada 16 pengusaha selam skuba, hanya lima masih bertahan dan beroperasi sehingga sekarang.
Pengurus Operasi Travel Box Sdn Bhd, Dean Lee berkata, banyak pengusaha yang mengendalikan perjalanan secara harian berhenti beroperasi kerana tidak mampu menanggung kos operasi yang tinggi.
Kini, apabila kelonggaran mula diberikan, beliau melihat ada peluang untuk mereka ‘menghidupkan’ kembali aktiviti selam skuba yang terjejas selama dua tahun ini.
Sebagai langkah pertama, Travel Box bekerjasama dengan Sutera Mantanani Resort bagi membuka pusat selam skuba untuk mempelbagaikan aktiviti yang boleh ditawarkan kepada pelanggan di resort tersebut.

“Kami membuka pusat selam skuba ini bagi mempersiapkan diri untuk menerima kedatangan pelancong atau penyelam skuba daripada luar negara.
“Jadi, apabila pelancong asing mula masuk ke Sabah, kami sudah bersedia dengan segala kelengkapan dan kakitangan yang cukup terlatih untuk membawa penyelam skuba melihat keindahan dasar laut di Pulau Mantanani,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut beliau, dasar laut di Pulau Mantanani mempunyai keunikan tersendiri dengan 40 kawasan diliputi terumbu karang asli namun, tapak selaman di situ belum cukup dikenali.
Biasanya apabila sebut tentang selam skuba, pelancong hanya akan terfikir Sipadan mahupun Semporna. Sebenarnya, Sabah mempunyai banyak destinasi selam skuba lain yang belum diteroka sepenuhnya, termasuklah Mantanani.
Justeru, mereka ingin menampilkan keistimewaan dasar laut di Pulau Mantanani kepada pelancong asing agar pulau itu dikenali sebagai destinasi selam skuba yang harus dikunjungi di Sabah.
Mengulas lanjut katanya, pulau itu bukan berada di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah jadi, mereka terpaksa melipatgandakan usaha untuk mempromosikan pulau tersebut kepada pelancong.
“Di sini terdapat 16 tapak selam skuba yang sudah direkodkan namun, masih banyak lagi tapak selaman yang belum diteroka dan berpotensi untuk dijadikan tapak selaman,” katanya.
Jelas beliau, aktiviti selaman di pulau itu sesuai dilakukan sepanjang tahun dan ia juga sesuai untuk penyelam skuba baharu.