BUTTERWORTH: Penduduk pekan Telok Ayer Tawar, dekat sini merayu pihak berwajib memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu berikutan banyak kejadian kemalangan di situ.
Seorang penduduk, Nor Hasni Saad, 57, berkata, lokasi jalan berhadapan Masjid Daerah Seberang Perai Utara itu terlalu sibuk kerana berdekatan dengan beberapa buah sekolah.
“Dalam sebulan, kira-kira enam kali kemalangan. Ada yang melibatkan orang awam, ada juga melibatkan pelajar sekolah.
“Jika ada CCTV, diharap dapat membantu mangsa yang terlibat dan memudahkan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sebab sudah ada bukti,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Nor Hasni, pengusaha kedai makan berhampiran masjid tersebut hampir 20 tahun berkata, kebanyakan kes kemalangan sebelum ini berpunca daripada kecuaian pemandu sehingga ada yang melibatkan kehilangan nyawa.
“Bagi mengelak lebih banyak kemalangan berlaku dan nasib mangsa terbela, saya harap CCTV dapat dipasang sama ada di lampu isyarat berhadapan masjid atau lokasi yang bersesuaian dengan segera,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rosidi Mat Said, 51, berkata, adakalanya sikap pemandu yang memandu secara berbahaya turut mendatangkan risiko kepada orang awam lebih-lebih lagi pelajar sekolah.
“Walaupun ada lampu isyarat, kadang-kadang ada pemandu tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain dengan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.
“Jika ada CCTV pesalah jalan raya ini tidak akan terlepas seterusnya dapat memberi pengajaran kepada semua pengguna jalan raya di sini agar lebih berwaspada demi kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.- UTUSAN