ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI (laupa)
KUALA PILAH: Dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Johol di sini ekoran kejadian banjir kilat semalam telah ditutup operasinya kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, kedua-dua PPS berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Johol dan Dewan Desa Dangi ditutup berikutan air telah pun surut dan penduduk didapati selamat untuk pulang semula ke rumah masing-masing.
“Penduduk yang terlibat telah dibenarkan pulang untuk membersihkan rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, dua buah PPS berkenaan masing-masing sebelum ini dibuka dan mula beroperasi pada pukul 10.03 malam semalam dan 2.20 pagi tadi.- UTUSAN
Kedua-duanya menempatkan mangsa banjir dari kawasan yang terjejas melibatkan Kampung Kerapi, Kampung Orang Asli Charik, Kampung Orang Asli Kelapi dan Kampung Ulu Inas.
Mohd. Faizal dalam pada itu memaklumkan rasa terkilan dan kecewa kerana sebanyak 12 keluarga di Rumah Rakyat Kuala Johol dekat sini berdegil untuk berpindah ke PPS semalam.
“Semalam pasukan penyelamat telah menasihatkan mereka namun masih berdegil kerana berasakan keadaan banjir akan surut menjelang pagi.
“Tindakan mereka itu amatlah dikesali kerana mendatangkan risiko kepada diri dan keluarga masing masing. Nasihat diberikan supaya mereka patuh dengan arahan pihak berkuasa jika berlaku lagi bencana banjir akan datang,” katanya.-UTUSAN