Banjir paling buruk di Felda Trolak

Banjir paling buruk di Felda Trolak

PENDUDUK membersihkan rumah mereka hari ini selepas dilanda banjir lumpur petang semalam di Felda Trolak Selatan dekat Tanjung Malim. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: ‘Sampai bila kami sekeluarga perlu menanggung kerugian puluhan ribu ringgit setiap kali banjir dan semalam merupakan yang paling teruk dalam sejarah kami tinggal di sini’.

Itu luahan mangsa banjir lumpur di Felda Trolak Selatan, Rushdi Arshad, 47, selepas kediamannya dinaiki banjir lumpur sehingga paras dada kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Katanya, ketika kejadian dia sedang mencucuk sate yang ditempah pelanggan memandangkan dia menjalankan perniagaan membekal sate sekitar Tanjung Malim.

“Saya sedang leka uruskan bekalan sate dan kemudian ayah masuk beritahu air laju dan sudah masuk dalam rumah tanpa saya sedar. 

“Kejadian kali ini berlaku amat pantas, tiba-tiba air masuk dengan deras dan berlumpur hingga memaksa saya membawa keluar dahulu bapa saya dan kemudian menyelamatkan motosikal serta kereta,” katanya kepada Utusan Malaysia di kediamannya di Felda Trolak Selatan, di sini. 

Rushdi yang tinggal bersama keluarga dan bapanya berkata, mereka sama sekali tidak menyangka bahawa rumahnya akan banjir sekali lagi selepas kejadian sama 25 April lalu. 

Katanya, bagaimana pun kejadian banjir bulan lalu tidak seteruk kali ini memandangkan air hanya di paras pinggang dan tidak berlumpur namun kejadian tersebut mengakibatkan kerugian hampir RM39,000 termasuk peralatan berniaganya.

“Tidak sampai sebulan, semalam banjir lagi dan habis rosak semua peti sejuk beku serta perkakas dan perabot baharu yang kami beli selepas banjir bulan lepas dan saya anggarkan kerugian kami kali ini hampir RM20,000,” katanya. 

Menurutnya, sepanjang lima tahun, dia dan keluarga menanggung kerugian hampir RM100,000 akibat banjir yang berlaku setiap tahun di Felda Trolak Selatan. 

“Saya mohon pihak terlibat pandang serius perkara ini, berkali kejadian sama berlaku namun tiada tindakan saya lihat dan yang menjadi mangsa kami dan penduduk di sini, setiap kali banjir tanggung kerugian dan perlu mencuci rumah serta mengantikan perkakas rumah baharu. 

“Tolonglah dalamkan sungai di belakang rumah kami yang mana saya rasa sudah 10 tahun tidak dikorek dan ia menyebabkan paras air bertambah tiap kali banjir,” katanya. 

Seorang lagi mangsa banjir, Hamisah Sobran, 69, berkata, ketika kejadian dia berada di belakang rumah melihat ternakan anaknya dan melihat air banjir bergerak ke arahnya hingga menyebabkannya berlari kerumah memanggil suaminya. 

“Saya lihat air tersebut keruh, berlumpur bersama kayu-kayu dan segera memanggil suami untuk mengangkat barang ke bahagian atas rumah kami namun tidak banyak dapat diselamatkan memandangkan hanya kami berdua di rumah. 

“Saya hanya mampu melihat air masuk dengan pantas dan ini merupakan banjir terburuk sekali sebab di luar rumah air hampir paras dada dan di dalam paras pinggang,” katanya.-

Menurut Hamisah, penduduk kampung percaya kejadian banjir berkenaan disebabkan kepala air dari Felda Trolak Timur memandangkan hujan lebat sehari sebelum dan berlarutan hingga ke pagi semalam. –

Tambahnya, air mula surut sekitar pukul 7 malam semalam dan dia bersama suami serta anak-anak pulang ke kediaman mereka dari balai raya untuk mengemas rumah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya