Bangga dalam linangan air mata ketika terima diploma arwah anak

Bangga dalam linangan air mata ketika terima diploma arwah anak

diploma
FAKHRUDDIN Kambali (kanan) menerima skrol diploma arwah anaknya daripada Zainab Ahmad pada konvokesyen di Shah Alam, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bapa bangga dalam linangan air mata ketika menerima diploma arwah anak perempuannya pada majlis Konvokesyen Politeknik Banting Selangor (PBS) ke-11 semalam.

Fakhruddin Kambali, 50, ha­dir mengambil skrol di Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PPSSAAS) di sini, bagi pihak arwah anaknya, Nur Sabrina Fakhruddin, 22, yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 27 Mac lalu.

Anak ketiga daripada enam beradik itu menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Zainab Ahmad.

Menurut Fakhruddin, dia menyedari arwah menghidap penyakit jantung sejak kecil namun tidak menyangka arwah pergi sebelum menerima diploma yang menjadi cita-citanya.

“Arwah seorang yang rajin, lemah lembut dan mempunyai semangat tinggi untuk melanjutkan pelajaran.

“Biarpun sedih, kami seke­luarga berbangga dengan kejayaan arwah dan ternyata Allah lebih menyayangi arwah,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Seramai 365 graduan mene­rima diploma bagi sesi Disember 2020 iaitu 120 orang dalam Penyenggaraan Pesawat, Kejuruteraan Mekanikal (182) dan Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) (63).

Kata Fakhruddin, Nur Sabrina juga seorang yang amat disenangi rakan dan pensya­rahnya selain aktif dalam akti­viti anjuran PBS.

Sementara itu, Zainab berkata, statistik kebolehpasaran graduan PBS tahun lalu mencapai peningkatan kepada 95.9 peratus berbanding 94.4 pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, PBS antara institusi pendidikan tinggi yang mencapai skor 100 peratus dalam pencapaian Indeks Petunjuk Prestasi (KPI).

“Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sentiasa mengorak langkah proaktif terutama mengembangkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” ujar­nya.- UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.