KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu bertindak segera mengatasi isu kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam yang memberi kesan kepada rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, tindakan dan kaedah sesuai perlu dilaksanakan oleh kementerian bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan masalah yang berlaku ketika ini adalah permainan syarikat-syarikat peladang ayam.
“Ini (isu bekalan ayam berkurangan) mungkin permainan pemain-pemain industri ayam. Pihak bertanggungjawab seperti KPDNHEP perlu ambil tindakan sesuai supaya bekalan ayam tidak berkurangan dan harga munasabah.
“Situasi seperti ini pernah berlaku dahulu yang mana pemain-pemain industri yang menternak ayam ini cuba mainkan harga dan mereka mengurangkan penawaran ayam dalam pasaran dengan membunuh anak-anak ayam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Menteri Besar di Dewan Warisan di sini hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan, komplot syarikat-syarikat peladang menutup ladang mereka sehingga menjejaskan bekalan ayam mentah di pasaran adalah cubaan pertama kumpulan ‘tangan hitam’ itu menuntut harga siling dinaikkan kepada RM9.90 sekilogram.
Harga siling ditetapkan ketika ini iaitu RM8.90 sekilogram dianggap tidak lagi relevan oleh kumpulan itu susulan peningkatan kos operasi termasuk harga dedak ayam.
Masalah bekalan ayam terus meruncing di seluruh negara apabila beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor mengalami keputusan bekalan ekoran tindakan penutupan ladang.
Tambah Azlan, selain ayam, pelbagai jenis harga barangan lain juga meningkat yang menuntut tindakan segera oleh kementerian bagi memastikan kestabilan harga.
“Penguatkuasaan yang lebih efektif dalam kalangan pihak berkuasa juga penting bagi mengatasi masalah ini,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. – UTUSAN










