Artis tempatan sertai jalan amal anjuran Astro Kasih untuk pelajar

Artis tempatan sertai jalan amal anjuran Astro Kasih untuk pelajar di kawasan pedalaman

astro kasih
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hak untuk mendapat pendidikan yang berkualiti adalah hak untuk setiap kanak-kanak di negara ini. 

Namun tidak semua mendapat akses yang mudah kepada sistem pendidikan kerana bagi sesetengah kanak-kanak, halangan seperti masalah kewangan dan jarak sekolah masih menjadi cabaran.  

Astro Kasih berusaha meningkatkan kesedaran di negara ini melalui penganjuran ‘Walk for Education’ pada 28 Mei 2022. 

Ia adalah acara jalan kaki lima kilometer di mana peserta akan membawa beg galas melalui denai yang direka khas di Taman Wetland Putrajaya untuk merasai pengalaman pelajar di kawasan pedalaman ke sekolah setiap hari. 

Astro percaya bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan dan memberi komitmen sepenuhnya untuk menggunakan platform, capaian, kandungan dan sumber untuk membolehkan pelajar-pelajar mendapatkan akses yang sama kepada pembelajaran dan berkongsi pengetahuan untuk membuka minda demi masa depan yang lebih cerah. 

Ramai pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman Malaysia Timur bangun sebelum subuh dan memulakan perjalanan ke sekolah dengan berjalan kaki.  

Ada yang memilih untuk menanggalkan kasut kerana takut ia kotor terkena lumpur dan lecak ekoran terpaksa menggunakan laluan hutan yang berlumpur.  

Walaupun buku teks dan alat tulis adalah keperluan semasa persekolahan, ramai yang meninggalkan beg galas mereka kerana tidak mahu basah ketika menyeberangi sungai atau akibat perubahan cuaca yang tidak dijangka. 

Seorang guru Bahasa Melayu dan Matematik di SK Magandai di Kota Marudu, Sabah, Helley Jodir berkongsi pengalaman pelajarnya ke sekolah dahulu.  

“Pada masa itu, saya melihat kanak-kanak melangkah masuk ke pekarangan sekolah dengan luka di kaki dan lintah melekat pada kulit mereka.  

“Sebenarnya perjalanan ke sekolah dengan berjalan kaki bukanlah apa-apa bagi pelajar-pelajar ini kerana mereka sudah biasa.  

“Ia hanya menjadi terlalu berbahaya bagi mereka apabila hujan. Lantai hutan menjadi licin dan sungai naik jadi anak-anak tiada pilihan lain selain tinggal di rumah dan ponteng sekolah,” katanya. 

Kebanyakan pelajar yang berjalan kaki setiap hari memulakan perjalanan ini pada usia tujuh tahun apabila mereka mula-mula mendaftar di sekolah rendah.  

Jika tidak ditemani oleh mana-mana orang dewasa, pelajar yang lebih tua yang sudah biasa dengan laluan itu akan membimbing mereka yang lebih muda sehingga mereka dapat melakukan perjalanan sendiri.  

Tetapi kebanyakan masa, para pelajar terbabit berjalan dalam kumpulan dua, tiga atau lebih dan membantu satu sama lain sampai ke destinasi mereka dengan selamat dan tepat pada masanya. 

 Astro memulakan projek asrama lebih 10 tahun lalu, untuk melengkapkan setiap sekolah dengan dekoder dan televisyen supaya setiap pelajar mendapat akses kepada kandungan pembelajaran. 

Astro Kasih telah membina tiga asrama dan menjalin kerjasama dengan Starfish Malaysia Foundation untuk menyokong lima asrama mereka dan satu pusat belia. 

Kemudahan yang disediakan oleh Astro itu telah membantu pelajar menjimatkan lebih 190,000 jam perjalanan sekolah setiap hari.  

Selain itu, Astro Kasih juga telah menyediakan pelajar-pelajar ini akses kepada kandungan pembelajaran Astro supaya mereka boleh membuka minda mereka tentang pelbagai subjek dalam keselesaan asrama mereka. 

Untuk memastikan akses sama rata kepada pendidikan untuk semua, Astro Kasih, cabang kemampanan Astro Malaysia telah memperjuangkan pendidikan melalui program Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah. Ia membolehkan lebih lima juta pelajar di seluruh negara mengakses kandungan pembelajaran Astro.  

Kumpulan Astro juga telah melabur lebih RM126 juta sejak dilancarkan untuk mencipta program pembelajaran berkualiti seperti Tutor TV SK, Tutor TV SMK, SPM Pro+ dan banyak lagi untuk memastikan setiap kanak-kanak berpeluang berjaya di sekolah. 

Kedudukan unik Astro memberi mereka keupayaan untuk menjadi suara untuk kebaikan dan memperjuangkan perubahan dan kesaksamaan untuk pelbagai komuniti di negara ini. Kumpulan media itu memahami bahawa kesedaran awam perlu jika mahu melakukan perubahan sebenar. 

Atas sebab itu mereka telah menggunakan platform mereka yang meluas untuk memberi impak positif, menyiarkan lebih 11,000 jam Pengumuman Perkhidmatan Awam pada tahun 2020. 

“Walk for Education” menjanjikan hari yang menyeronokkan untuk seisi keluarga, termasuk gerai permainan dan aktiviti, konsert mini yang menampilkan Timah, Wani Kayrie, Masya Masyitah, Abigail, Irfan Haris, Lil J, Ara Johari dan Dem Lepak Boyz.  

Acara itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi ramai pelajar di pedalaman Malaysia untuk menghadiri sekolah setiap hari.  

Selain menyebarkan kesedaran, aktiviti berjalan kaki itu juga membantu murid-murid SK Magandai dan SK Malinsau di Sabah; SK Sungai Paku di Sarawak; serta asrama Starfish Malaysia Foundation di seluruh Malaysia Timur. 

Ketika wabak Covid-19 melanda dan sekolah terpaksa ditutup, keadaan pelajar yang sedia sukar menjadi lebih mencabar.  

Helley memberitahu, liputan Internet yang terhad menjadikan pembelajaran dari rumah hampir mustahil untuk penduduk kampung.  

Untuk mengatasinya, guru-guru di SK Magandai menyediakan kertas kerja murid-murid mereka dan menghantarnya ke rumah mereka pada setiap minggu.  

Mereka juga menyediakan walkie talkie untuk pelajar yang tinggal di dalam hutan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan. 

Kini setelah dapat kembali ke sekolah, para pelajar kembali menyambung perjalanan melalui denai hutan dan belukar setiap pagi dan petang seperti yang selalu dilakukan sebelum ini. 

Menurut Helley, semua pelajarnya tetap bersemangat untuk hadir ke sekolah setiap hari walaupun perjalanan yang terpaksa mereka lalui amat mencabar. 

“Sesetengah tinggal jauh dari sekolah dan mereka mengambil masa hampir sejam untuk sampai ke sekolah setiap hari.  

“Mereka masih masuk ke kelas saya dengan senyuman di wajah dan tidak pernah merungut. 

“Semasa dalam perjalanan mereka akan usik-mengusik antara satu sama lain dan bermain-main seolah-olah mereka berada di taman permainan.  

“Kanak-kanak ini tabah walaupun pada usia tujuh tahun kerana mereka melihat nilai pendidikan,” katanya. 

Acara “Walk for Education” akan diadakan pada 28 Mei 2022 (Sabtu) di Taman Wetland Putrajaya. Pendaftaran dibuka dari 6 hingga 10 pagi untuk peserta mendaftar, ambil kit & berjalan mengikut trek yang ditetapkan.

Setiap tiket berharga RM63 dan keluarga boleh membeli pakej kombo dengan harga RM226.80, yang terdiri daripada dua tiket untuk dewasa dan dua tiket untuk kanak-kanak. 

Semua peserta akan menerima kemeja-T, nombor bib, beg Astro Kasih, beg bertali dan minuman semasa ketibaan, serta pingat penyudah dan e-sijil selepas tamat berjalan kaki. Sertai Walk for Education sekarang di http://t2u.asia/e/27113, tarikh tutup penyertaan pada 16 Mei 2022. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN